Tampilkan postingan dengan label curhat. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label curhat. Tampilkan semua postingan

Rabu, April 2

Kesabaran yang panjang

Adakah seiring waktu kesedihan itu hilang?

Ia adalah trauma seumur hidup yang tidak terluahkan. Ada momen- momen di saat sunyi, trauma itu kembali menghantui. Trauma itu hadir dengan naratif negatif. 

Cepat- cepat aku nyahkan. Tidak mahu berlama-lama berprasangka buruk. Kerana hal apapun, ia adalah yang terbaik untuk diriku.

Tentang kesabaran yang panjang

Aku pernah ditengking oleh seorang jururawat ketika meminta agar memberi ubat kepada pesakit. Terpana aku pada tengkingan sang jururawat tersebut. Dengan suara yang hampir menahan tangis, tangan terketar- ketar menahan rasa malu, aku membalas,

Okay, takpe. Terima kasih. 

Lancar ke arah pesakit, menyediakan sendiri ubat yang diarahkan. 

Malam tersebut adalah syif paling panjang padaku. Tidak mampu aku memandang semua staf yang bekerja. Terluka amat. Sehinggakan, cbd pesakit lelaki pun aku ingin masukkan sendiri. ( tidak aku lakukan kerana dihalang jururawat lelaki yang turut ada semasa syif tersebut). Lembut hatiku kembali untuk tindakan baik jururawat lelaki tersebut. 

Dan trauma itu kembali lagi. Di posting bius sekarang. Melakukan latihan sangkut terakhir sebelum kembali ke jabatan kecemasan dan harapan besar sebagai pelajar tahun akhir. Di icu, aku seringkali terasa dengan kata- kata jururawat kepadaku. Pernah aku berlapang dada, menyatakan mungkin hatiku yang terlebih sensitif. Tapi gitulah. Memori ditengking kembali menerjah. 

Sebelum tidur, sempat aku lakukan postmortem kenapa aku dimarahi. Cara aku sampaikan arahan ke yang buat orang tak suka? Perawatan aku jauh beza ke dengan protokol di icu? Cuba untuk melakukan introspeksi diri agar diri lebih baik. Tiada jawapan khusus. Mungkin aku hanyalah punching bag mereka pada waktu tersebut. Berada pada waktu yang salah. 

Kalau ada ujian yang Allah berikan kepadaku, ujian kesabaran adalah ujian terbesar padaku. Pedih betul menahan rasa malu dimarahi. Pedih yang amat menahan diri untuk tidak sama-sama naik tanduk. 



Rabu, Mei 15

Orang yang tepat pada waktu yang tepat

Ahad lepas, aku kerja malam. Syif malam tu kekurangan pegawai perubatan. Ada yang terpaksa cuti kecemasan atas sebab tertentu. Zon merah tinggal aku berdua dengan rakanku beserta seorang adik housemen. 


Lama sudah tidak aku rasakan nikmat bekerja dengan rakan sekerja yang super duper best. Walaupun kekurangan tenaga kerja, tetapi terasa ringan sekali bekerja syif malam tersebut.


Permulaan syif malam di zon merah agak tenang bagi aku. Sempat berbual bergelak ketawa dengan staf dan rakan sekerja sambil- sambil di selang jeda waktu datang kes-kes untuk kami rawat. Sempat juga rakanku ke emart24. Sempat juga makan-makan di pantri jabatan. Pokoknya, walaupun zon merah punya pesakit, kesempatan itu ada sebab kami saling cover mengcover bila salah seorang kami tiada.


Suasana yang dirasakan tenang tidaklah berpanjangan. Selepas selesai sesi kaunseling emas oleh partner in crime aku, kes datang bertubi-tubi. Seorang dua pesakit perlukan non invasive ventilation. Berjaga-jaga juga takut-takut perlu bantuan intubasi. 


Dan kemuncak pesakit kami adalah pesakit dari zon kuning yang ketika hendak dihantar ke wad mengalami kesukaran pernafasan. Terus dihantar ke zon merah. Pelik pesakit kami ni. Ujian darah gas arteri yang dibuat menunjukkan beliau sudah mula mengalami masalah kegagalan pernafasan jenis 2( type II respiratory failure) dan tiada bacaan garam( potassium) yang direkodkan. ECG beliau menunjukkan prominent U wave sedangkan di zon kuning bacaan formal potassium beliau adalah 2.9 dan itupun telah diberi correction potassium 2g memandangkan pesakit datang dengan masalah lemah kedua belah kaki.


Sepantas kilat rakanku mengarahkan correction potassium 2g sekali lagi bersama correction electrolytes yang lain. Kalau tidak dirawat, pesakit boleh mengalami ritma jantung yang tidak sekata( Ventricular tachycardia/ventricular fibrillation) dan boleh membawa maut. Pakar kecemasan bertugas on floor juga turut dipanggil. Resuscitation kami ke atas pesakit pun bermula. Sebanyak 11g potassium correction diberikan kepada pesakit. Setiap sejam kami monitor ecgnya kerana ujian darah yang normal mengambil masa sejam dua dan ujian vbg tidak dapat lagi mendeteksi bacaan potassium. Akhirnya jam 6.50pagi barulah ecg pesakit menunjukkan tanda perubahan positif tanpa ada prominent U wave. VBG pesakit juga sudah berjaya mendeteksi potassium level iaitu 1.7mmol😅 masih sangat rendah kerana normal potassium kita adalah 3.5-4.5mmol. Berapalah agaknya tahap potassium pesakit semasa beliau mengalami kesukaran bernafas.


Sambil- sambil tu aku dan rakan- rakan sekerja malam dari zon kuning sempat menggoogle sekiranya ada kes yang hampir sama seperti kes yang kami dapatkan. Terjumpalah satu kes report yang dibuat berkaitan thyrotoxic periodic paralysis. Kes presentation hampir sama dengan kes kami. Kami pun berkeputusan menghantar ujian thyroid urgent dan keputusannya pesakit disahkan mengalami thyrotoxicosis. Kes ini dibincang secara terus oleh pakar kecemasan kami bersama endocrinologist. Dan rawatan untuk thyroid dimulakan terus di ED. Pesakit dimasukkan ke ICU untuk pemantauan lanjut. 


Jam 7 pagi, pesakitku yang niv sudah tidak mampu bernafas normal. Aku lakukan intubasi ke atas beliau setelah memberi penerangan kepada pesakit dan waris pesakit. Kami tutup syif kami dengan intubasi pesakit. Yang menolong aku semasa proses intubasi adalah rakan-rakan dari zon kuning juga. Alahai, sibuk-sibuk begini dapat rakan sekerja sama-sama tolong adalah nikmat paling padat. Ringan sahaja hati bekerja syif malam hari tersebut. 


Semuanya berlaku pantas. Proses resuscitation dan menstabilkan pesakit adalah proses yang berterusan. Dan aku kira pesakit dipermudahkan urusannya kerana beliau berjumpa orang yang tepat. Pakar kecemasan yang bertugas yang mengguide kami para pegawai perubatan dan perbincangan antara pakar dengan pakar membantu menstabilkan pesakit kami. Sesungguhnya Allah memang menguji kita sesuai dengan kemampuan kita. Tepat sungguh ujian itu diberikan kepada pakar kecemasan kami🙂


Seusai syif malam, aku meneruskan tugasan utama minggu ini. Perbentangan cme berkaitan crashing asthmatic. Segar sungguh biji mata semasa sesi perbentangan. Dan sekali lagi, orang yang tepat mengelola perbentangan cmeku. Terima kasih kepada kedua pakar kecemasanku yang tak lokek ilmu dan tak jemu membetulkan salah faham aku semasa perbentangan. Haritu, walaupun pulang lewat, segar dan ringannya hati seperti mahu menyambung syif pagi pula🤣


Di kumpulan whatsapp aku ucapkan ribuan terima kasih kepada team malam yang sama-sama datang membantu kami di zon merah. Semoga Allah membalas jasa kalian semua. 


Dan aku akhiri syif malamku dengan menghadiahkan nota perbincangan cme kepada rakan-rakan sekerja team malam. Almaklumlah, dorang semua tertidur semasa sesi perbentangan cmeku. 


Terima kasih untuk pelajaran erti ikhlas yang tidak mampu aku fahami sehingga melaluinya sendiri.

Rabu, September 28

Ujian atas kertas

 


Terjumpa kawan lama selepas bertahun tidak ketemu

Okay tak master?- tanya kawanku

Allahu, menyesal- jawabku tanpa ragu😅

Direzekikan Allah menyambung pengajian setelah hampir sedekad bekerja. 

Semoga inilah yang terbaik.

Masih sangat ragu dengan keupayaan sendiri.

Dari dulu sehingga kini.

Dulu-dulu

Rasa tak layak jadi doktor

Sekarang

Rasa tak mampu nak belajar dan lulus ujian atas kertas

(ragu to the max)😩

Eh,

Dah kenapa ni


Sila sambung ulangkaji dan teruskan usaha


Mohon doanya

Ujian atas kertas 

4-5 Oktober 2022




Minggu, Mei 30

Separuh

Sudah hampir setengah tahun 2021. Aku bersyukur masih diberikan peluang untuk terus berbakti hingga kini. Kehidupan hari ini masih seperti beberapa bulan lalu. Tidak di rumah, di hospital. Kalau tengok sejarah mysejahtera, check in aku hanyalah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Petra.

Begitulah aku lalui kehidupan beberapa bulan lalu. Ada masa-masa betul betul lemah semangat. Tapi esoknya masih bekerja seperti tiada apa yang berlaku. Ada masa, aku akan fikir mesti ada benda yang boleh buat aku semangat. Contoh, MO tak cukup, takpe. Aku ada MA bagus. MA tak bagus, takpe aku ada SN yang bagus. SN tak bagus, takpe aku ada HO bagus. HO tak bagus, takpe aku ada MO oncall bagus. MO oncall tak best, takpe aku ada bos oncall best. Sehingga sekecil-kecil hal adalah benda yang paling membahagiakan untukku. Begitulah pandemik Covid 19 ni mengajar seorang aku mensyukuri hal-hal kecil yang Allah berikan kepadaku.

2020
Kalau aku boleh simpulkan apa yang telah aku lalui pada tahun 2020, ia semestinya 2020 adalah tahun aku broken and fractured. Allah betul-betul beri ujian yang menyebabkan aku hampir hancur berkecai. Broken into pieces. Perlahan-lahan, aku kutip sedikit-dikit sisa dan cantumkan kembali rapat-rapat menjadi aku kembali. Tidak pulih sepenuhnya lagi, tapi sangat bersyukur aku mampu berdiri sendiri seperti dulu.

Kalau ada satu benda yang aku belajar dari ujian lepas. Semestinya tiada sesiapa yang mampu menenangkan kita, membuat kita berasa lebih baik berbanding berlama-lama mengadu kepada Allah. Aku menangis banyak. Tak kira waktu. Pergi kerja boleh menangis. Masa solat boleh menangis. Duduk sendirian dalam bilik menangis. Sahabat kita ada tapi tidak pernah sama dengan apa yang Allah berikan pada kita. Ketenangan hati dan kejernihan fikiran. Hanya Allah mampu beri kita itu. Dan kita mampu bangkit sendiri!! Aku menyendiri banyak kini. Banyak hal yang aku diamkan dan pendamkan. Umpatan di tempat kerja pun sudah tidak aku libatkan diri. Satu perkara yang aku kira hal baik yang aku dapatkan selepas diuji di tempat kerja. Pergi kerja dan buat yang terbaik. Persetankan semua kata-kata nista. Bekerja mengikut SOP standard yang ditetapkan. 


2021
Aku tutup kisah kehidupan 2020. Alhamdulillah untuk ujian hati, kerjaya, rezeki dan keluarga yang Engkau berikan tahun lalu. Perlahan-lahan aku bangkit kembali. 



Senin, Juli 13

26 bulan

Aku kini dalam fasa depresi untuk stages of grieving. Sepanjang 26 bulan ni aku banyak hilang benda yang aku mahu ia kekal dengan aku

Boboi-kucing aku mati bulan Mei 2 tahun. Masa Boboi mati, sedihnya macam tak percaya Boboi dah tiada. Hidup kena terus.

Rancangan hujung minggu 2days1night musim ketiga diberhentikan secara mengejut bulan Mac tahun lepas. Masa rancangan ni tetiba tiada di setiap hujung minggu, dunia rasa kosong. Sedih pun ada. Ahli 2d1n musim ketiga memang lain macam dinamik hubungan mereka. Sampai sekarang, tengok 2d1n musim keempat pun tak sama macam dulu punya. Hidup tetap kena terus

Aku mula rasa burn out sejak bulan April tabun lepas. Entah kenapa rasa tak mahu melakukan apa-apa. Jalani kehidupan seadanya. Tapi sebab ada sahabat yang sama-sama nak berusaha sambung belajar, aku gagahkan juga. Sama-sama usaha buat poster dan kajian. Sama-sama usaha jadi pengajar. Libatkan diri dengan banyak aktiviti luar dan kursus. Mungkin sebab dah pulun habis-habisan, tak dapat juga keputusan yang kita nak. Semangat tu jadi hilang balik. Pergi kerja dan balik. Semangat mengajar pun tiada. Semangat buat jadual kerja pun tiada. Semuanya dah bukan menjadi keghairahan aku.

Aku tahu aku perlukan bantuan. Aku jawab soalan ujian DASS online. Aku dah masuk kategori moderate depression. Sedang berusaha untuk kekal positif disamping bantuan sekeliling. Sikit lagi nak masuk fasa penerimaan. Moga segalanya berakhir dengan baik.

Doakan.

Minggu, Juni 7

Catatan rasa

2018

Di depan Kaabah, pohon pada Allah agar diberi peluang sambung master. Dapat pintasan seolah aku gagal sambung master. Kataku, tak apalah. Boleh cuba lagi tahun depan. Tahun ini, tiada persediaan untuk sambung belajar. Tiada poster, tiada aktiviti luar.  2019, aku mahu usaha betul-betul.

2019
Tahun aku betul- betul pulun sambung belajar. Banyak libatkan diri dengan kursus dan latihan. Bentang poster di konferens antarabangsa. Tapi tahun ini juga tahun aku burnout. Tiada angin, tiada sebab aku jadi letih. Rasa sangat malas kerja. Rasa tak berguna. Aku ambil masa 6 bulan untuk dapatkan kembali semangat yang tetiba hilang. 

2020
Pintasan yang sama aku dapat ketika aku berdoa di depan Kaabah 2 tahun lepas. Tahulah aku akan keputusan permohonan masterku untuk sesi 2020/2021. Kecewa ada. Sedih ada. Cuma mahu berlapang dada dengan seikhlas hati. Redha dengan takdir ini. Ikhlaskan dan gembira atas kejayaan rakan-rakan lain. 

InshaAllah. 


Senin, Mei 18

Ikhlaskan

Ya Allah,
Bagaimana mahu hadirkan rasa ikhlas dalam hati pada satu kecintaan yang dahulunya aku semangati dan sayangi?

Ya Allah Al Jabbar,
Bagaimana mahu hilangkan rasa kecewa dalam hati pada hal yang sudah tertulis atas segala perancangan masa depan tak jadi ini?

Ya Allah Al Ghaffur,
Ampunilah aku atas segala prasangka buruk untuk hal-hal yang telah ditakdirkanMu

Jauhilah aku dari berprasangka tidak- tidak terhadapMu

Ayat apa yang kamu suka belum tentu baik untukmu, apa yang kamu benci belum tentu buruk untukmu. Susahnyalah nak berlapang dada akan hal sebegini. Padahal Allah dah cakap pun

Rabu, Juni 27

Scripta

Dahulu, ketika aku berusaha belajar melepaskan, aku bertindak melakukan sesuatu yang mencabar. 2 tahun berada dalam perhubungan yang tidak pasti. Aku merasakan, mungkin sudah perlu ucap selamat tinggal.

Beberapa kali aku katakan pada diriku. Inilah kali terakhir. Selamat tinggal buat kamu. Dan setiap kali itulah, hal-hal kecil, hal-hal diluar jangka terjadi. Hal-hal tersebut membuat aku masih utuh pada perhubungan yang tidak menampakkan hala tuju yang positif.


Sepanjang 4 tahun berada dalam perhubungan tersebut, aku cuba bersangka baik. Bahawa hal-hal besar akan terjadi. Aku hanya perlu menunggu. Kawan aku nasihat, just go with the flow. Tiada perubahan. Menunggu dan terus menunggu.


2015, aku mencabar diri mendaki gunung Kinabalu. Aku katakan pada diriku, sekiranya aku mampu menawan puncak Kinabalu, hal terkait hati dan perasaan adalah mudah sekali untuk diungkapkan. Tapi tidak. Aku tetap membisu. Dan hubunganku masih di tahap itu sahaja.

2016, aku ke New Zealand. Sekali lagi aku mencabar diri. Melakukan terjunan bungee. Aku katakan pada diriku. Sekiranya aku boleh melakukan hal ini, hal terkait soal hati pasti mudah.

Ambil masa 6 bulan selepas itu barulah kekuatan itu ada. Kekuatan menerima hakikat yang sebenar. Padahal mungkin dari awal perkenalan lagi sudah dapat diagak. Hal ini terlalu mudah diprediksi. Kenapa masih berharap lagi?

Selepas mendapat kata putus, diucap sendiri oleh temanku itu. Adalah mudah sekali untukku melangkah. Memilih, membuat keputusan tentang hal ke depan. Oo..begini rupanya seorang aku menerima penolakan. Seorang aku hanya butuh kepastian. 4 tahun terasa macam sia-sia. 

Sepanjang 4 tahun, aku baca blog, artikel dan habiskan kuota internet layan video youtube tentang hubungan lelaki dan perempuan. Kesimpulan yang aku dapatkan adalah, setiap lelaki berbeza. Hanya lelaki tersebut yang ada jawapan untuk persoalan kita. Hanya perlu bertanya kepada lelaki tersebut sahaja. Dan berhenti habiskan masa berfikir. Dia suka aku ke? Haha. 

Dan aku mula mengenali diriku sendiri. Aku boleh menerima penolakan. Aku menyampah sekiranya pelbagai persoalan bermain di fikiran. Hidup sudah cukup rumit. Kenapa harus ditambah rumit dengan hal yang samar? 

Jadi aku hargai hidupku dengan berhenti berfikir terlalu banyak. Tidak lagi mahu terperangkap dalam perhubungan tidak pasti. Apabila sudah tiba masa untuk melangkah, I should have walk away. And I glad I did.

Segala yang dihasrat
Tapi tidak dapat
Adalah nikmat yang paling padat
(A.Samad Said, Benih semalu)

Selasa, Februari 24

semangat

Kenapa Gunung Kinabalu?
Kau ke sana memang untuk mendaki sahaja?
Jalan-jalan?

Entah.
Setiap orang mahukan pencapaian dalam hidup mereka.
Untuk aku, yang pada sudut pandang orang

kau, boleh ke? Dengan pandangan skeptis

Aku rasakan sudah terlalu lama aku tidak mencabar diri aku. Sebab dulu-dulu, aku pernah berangan-angan berada di puncak gunung Kinabalu. Angan-angan yang aku benar-benar ingin jadikan ia kenyataan. Itulah aku. Mahu menjadi aku. Seperti aku yang dulu.

Banyak yang hilang ketika bah besar Disember lepas. Yang tak pernah hilang adalah semangat untuk teruskan hidup. Berjalan, berlari, merangkak atau apa..pastikan ia menuju ke arah apa yang aku mahu.

Di pengakhiran perjalanan saya di Kinabalu, saya ucapkan terima kasih kepada mountain guide kami kerana tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya untuk sampai ke puncak.

Terima kasih untuk segalanya. Sedikit sumbangan untuk kamu walaupun saya tahu semangat tak mampu dibayar.
menuruni gunung Kinabalu

Rabu, September 24

Ukhuwah

Cerita 2 hari lepas.

Bertemu sahabat sekuliah setelah sekian lama tidak berjumpa. Kami berbual tentang banyak hal. Dari kisah peribadi, kerjaya dan juga masa depan. Sedang rancak berbual, salah seorang sahabat saya secara spontan berkongsi tazkirahnya. Satu perkongsian rohani yang saya dan sahabat saya dapatkan.

Nah, apa lagi yang saya perlukan. Kami bertemu, berpisah dan InshaAllah bertemu kembali kerana Allah. Ukhuwah begini sangat manis. Saya akui, ada orang rezekinya pada berkeluarga, punya suami atau isteri serta punya anak. Untuk orang seperti saya, yang rezekinya seputar keluarga, kerjaya dan sahabat dunia akhirah, rezeki yang saya dapatkan terlalu manis untuk saya ucapkan. Alhamdulillah untuk sahabat-sahabat yang sentiasa mengajak ke arah kebaikan.

Apa yang kita ada, kita jaga dan kita kongsi. Walau sudah lama tidak bersua, satu mesej ringkas mungkin mengubah hari kita. Bukan begitu?

nota; dulu jika ke Kuala Lumpur ada sahaja tempat yang saya ingin pergi. Sekarang semuanya terasa kosong. Masing-masing bawa haluan sendiri. Kuala Lumpur yang dulunya menjadi tempat saya mencari ilmu sudah hilang sinarnya di mata saya. Kosong.

Selasa, Maret 11

ED

Madziani (sila baca tanpa d),
Best ke ED?

Laju je jawab.
BEST!

Best apanya, hari-hari kena bebel?
Balas bos saya.

Senyum :)

Hari ni banyak kali bos panggil nama saya
HO tagging selalu jadi sasaran.
Jawab je semampu mungkin. Salah pun buat-buat penuh yakin.
Hasil didikan 5 posting lepas.

Tapi serius tak tipu. ED memang best. Selalu adrenaline rush.
Perlu aim clerk case dalam 5 minit sahaja. (Kalau boleh la)
Kes pelbagai. Dapat recall  banyak kes dari posting lepas.

Dan lebih mengujakan sekiranya bilik gerakan dibuka.
Waktu itu yang bercuti perlu bekerja.

Doakan untuk penumpang MH370.
Kami di sini sentiasa bersedia untuk berkhidmat.
Moga-moga semuanya selamat.

nota;
Kenapa perlu patah hati sedangkan tuhan tidak pernah patah harap pada hambaNya?

Senin, Februari 27

Awak,

Pada waktu ini, aku rindu. Rindu pada sosok yang telah lama meninggalkanku. Aku rindu pada semangatnya. Sosok yang tidak pernah jemu menuntut ilmu walau kanser ovari yang dihidapinya sudah di peringkat akhir. Dari sekolah berasrama penuh, dia berpindah ke sekolah berdekatan rumahnya. Hanya untuk belajar. Walau di mana dia berada, pasti dia bersama buku.

Pernah suatu ketika, dia bermalam di rumahku. Waktu itu, dia sempat menghabiskan beberapa buah buku di rumahku. Hanya dalam masa satu hari sahaja. Aku rindu pada kecintaan dia, kecintaan pada ilmu. Dan aku rindu dia, sosok yang turut menyentuh aku agar teruja pada tradisi menyimpan ilmu di dada dan bukan hanya di atas kertas. (Sedikit-dikit kecintaan itu semakin hilang, dush!)

Kegagalan itu adalah ujian paling ringan - Prof Shahrir.

Siapa yang tidak pernah gagal?

Ia adalah lumrah kehidupan. Gagal. Lulus.

"Sepertinya, tak adil untuk meminta pada Tuhan untuk menolongmu mengalahkan orang lain. Aku hanya bermohon pada Tuhan, supaya aku tak menangis, jika aku kalah." - sumber blog motivasi sukses
Aku rindu Dayah. Aku rindu arwah sekarang. Rindu semangat dia. Kita mungkin lupa bagaimana rupa orang itu, mungkin lupa apa yang telah dia buat, tapi kita takkan pernah lupa bagaimana orang itu telah menghadirkan seribu satu rasa buat kita.

"Doktor, tidak bolehkah anda memberikan sedikit harapan untuk seseorang yang harus menghadapi kematian ketika teman-temannya sedang mencipta mimpi untuk masa depan?"

May you rest in peace. Ameen.




Minggu, Oktober 23

Seorang anak

Kalau kau tak belajar tinggi macam sekarang, apa yang kau akan buat?

Hah,

Apa lagi. Duduk rumah. Tolong mak ayah akulah. Banyak benda boleh buat kat rumah.


Sememangnya terasa semakin jauh dari rumah. Cumanya, saya benar-benar bersyukur sentiasa diberi ruang dan waktu untuk pulang ke kampung walau hanya sekadar cuti hujung minggu.

2 minggu lepas ibu saya dimasukkan ke wad. Untuk pembedahan paraumbilical hernia. Mulanya, ia hanyalah pembedahan yang dijangka berdurasi hanya 30 minit. Secara laparoskopik. Dan sekiranya ibu saya stabil, mungkin sehari selepas pembedahan, ibu saya sudah dibenarkan keluar wad.

Namun, apa yang dirancang lebih dari itu. Tuhan punya cerita lain buat ibu saya. Dan segalanya masih samar lagi. Samada penemuan pakar bedah semasa pembedahan itu adalah sesuatu yang lebih bahaya, iaitu kanser.
Ibu tetap dengan pendiriannya. Walau apapun keputusan biopsy, ibu nekad untuk tidak mahu meneruskan rawatan. Sesuatu yang buat saya hiba saat mendengarkannya.

Kerana,

saya berada di profesi ini. Cukup rapat dan saban hari melihat pesakit-pesakit sedemikian.

Seorang anak. Dari lipatan hatinya yang terdalam, mesti tidak akan mahu kehilangan orang yang dia kasihi. Rela atau tidak, itu takdir yang harus ditelan bulat.

Seorang anak. Walau cengeng segala, mesti akan tetap sayang ibu bapanya. Walau, mungkin kasih itu tidak terlalu ditunjukkan.

Di rumah, ia ibarat syurga bagi saya. Banyak benda boleh dibuat di rumah. Sememangnya, hadiah terbaik dapat kita berikan untuk ibu bapa kita adalah menjadi sesebaik insan yang sentiasa bermanfaat untuk mereka.

Jumat, Agustus 19

...........

Alhamdulillah,

finally,

I can write again.

Do enjoy the video from my earlier post.



Hurm,

Belum lagi berjiwa doktor tega
Bila oncall je
Mula rasa berat hati

Mungkin
Mungkin
Terpaksa melepaskan tarawih di surau

Mungkin
Mungkin juga
atau mungkin
hati ini belum cukup cinta








Kamis, Januari 13

seorang saya

Teman saya bilang kadang-kadang kita perlu menangis. Kali ini saya tak menangis seorang diri macam biasa. Kali ini saya menangis di hadapan guru saya merangkap doktor saya. Kali ini benar-benar haru. Baru saya tahu, terkadang kita tidak bisa mengharapkan bantuan sahabat-sahabat. Tidak mahu salahkan sesiapa kecuali saya. Saya yang tidak tahu mengurus masa saya. Senanglah orang mahu bicara, anda tidak di tempat saya. Saya memang sukar sekali menyatakan tidak. Non assertive trait sudah ada. Altruism pun nampak bayang-bayang di situ. Sudah. Ini ringkas seorang saya.

budak malang yang waktu kecil tidak diajari soal melawan kata.

Kamis, September 16

monolog

Saya tidak pernah tahu sekiranya ada kehidupan yang indah,
Dahulu, saya cuma tahu dunia saya seputar rumah dan sekolah,
Asal sudah menjadi anak yang ikut kata, lakuin segala perintah,
Asal sudah menjadi pelajar yang disiplin, cemerlang belajar,
Itu sudah memadai,
Itu sudah cukup untuk capai bahagia,
Dunia dan akhirat.

Saya cumanya terasa itu kosong,
Apabila sudah melihat dunia berbeda,
Saya mula mencurigai diri saya, mencurigai hal-hal sekeliling saya,
Saya mula menyoal, adakah ini sudah cukup?
Saya mula mengamati,
Adakah nilai-nilai yang diperoleh itu satu yang bisa saya persembahkan pada sang Pencipta?

Ramai sudah yang saya kagumi,
Mereka cemerlang dengan nilai perolehan yang tinggi,
Saya mahu begitu, mahu capai nilai perolehan yang tinggi, mahu buat diri ini bisa dihormati,
Mahu buat ibu bapa bangga pada anaknya, mahu jadi terbaik dalam segala, mahu buat tutup mulut mereka yang jahat akan kata-kata nista di belakang.
Cumanya,
Apabila saya memperoleh itu, saya terus-terusan bertanya,
Terus apa Ya Tuhan?
Adakah ini yang Kau mahu?


Saya terus lagi,
Jalani hidup saya yang sememangnya kosong, sepertinya tidak terisi,
Hidup hanya cuma mahu capai nilai terbaik, memperoleh kerja yang dihormati, menjalani kehidupan sebagai seorang anak dan adik,
Tiada titik noktah
Seputar berteman bersama beberapa rakan baik, seputar di hadapan kotak bergambar mengisi waktu kosong, seputar itu sahaja

Saya mengamati
Dunia luar sana,
Saya lihat peperangan,
Say lihat pembunuhan,
Saya lihat seorang laki-laki yang dirinya keseorangan
Cuba mencari lindung di balik ratusan manusia mebawa senjata tajam
Hanya kerana dia Muslim
Kenapa Tuhan takdirkan dia,
Bukan saya?

Adakah keberadaan saya ini benar-benar hidup?
Atau hanya sekadar menjadi manusia robot?

Saya baru tahu adanya kehidupan indah,
Kehidupan di atas satu jalanan yang bersimpang siur,
Penuh dengan pelbagai konflik,
Penuh dengan cabaran dan pengorbanan,
Penuh dengan kemanisan sesudah pahit itu ditelan dengan luar biasa sekali,
Cumanya
Saya di mana?


Keberadaan saya adakah benar-benar membantu atau sekadar perencat jalanan itu?
Keberadaan saya adakah benar-benar eksis atau sekadar lelalang? Hanya tahu dibuai angin ke kiri dan ke kanan

Hakikatnya, senarainya panjang dech mengisi kotak fikir,
Cumanya saya tiada masa untuk itu,
Mahu terus bangkit dan bekerja,
Atas nilaian Allah yang utama.

Ditulis saat merasakan tidak layak menjadi ‘seseorang’
10 September 2010, bersamaan 1 Syawal 1431h.

 

Minggu, Agustus 8

everything that I want

Sempat aku membelek majalah Female pada suatu hari. Aku terjumpa satu artikel, do you really want to quit? Aku terpaku sejenak sambil bermonolog ade jugak bende berguna dalam majalah ni ye. Aku baca bait-bait ayat. Aku dilahirkan pada tahun 1987, makanya aku tergolong dalam Gen-Y.

Perubatan bukanlah satu pilihan utama atau beberapa pilihan aku suatu ketika dulu. Sejak aku tingkatan 4, aku dah tetapkan impian aku. Nak belajar di UTM jurusan Kimia Industri. Hanya Tuhan yang tahu betapa aku minat kimia. Sampai aku beli buku The Alchemist sebab tajuknya, bukan kerana ia novel terlaris. Aku cuma mahu merasai bagaimana perasaannya ditemuduga, jadi aku pergi temuduga Mara di kolej. Manalah aku tahu kalau aku lulus. Cam hampeh je jawapan aku kat penemuduga masa tuh. 

Aku berada dalam dilema apabila surat tawaran dari UTM sampai. Aku mendapat tawaran jurusan kimia industri yang aku idam-idamkan. Lama aku berfikir, solat istikarah dan menimbang segala yang boleh aku timbangkan. Akhirnya, aku buat keputusan pilih perubatan. Hancur impian aku yang lalu. (keputusan ini tidak ada kena-mengena dengan mak dan ayah)

Minggu-minggu pertama di tahun pertama aku mula bertanya, am I destined to be a doctor? do I really wanna do this? Kenapa susah sangat? Macam-macam terluah dari hati. Tambahan pula, minggu-minggu pertama tutorial aku mendapat Doktor Tri yang memang terkenal dengan gaya 'psiko' beliau. Asal keluar kelas rasa sakit kepala, nak tidur je. Believe me, he was torturing us for 2 and half hour! 

Aku melepaskan rindu pada keluarga di Malaysia dengan berbalas emel dengan kakak. Satu hari, di saat depresiku mencapai tahap apa, aku luahkan pada kakak jika sebenarnya aku mahu ke utm dan bukan ke unpad. Aku katakan pada kakak, nasib aku takkan jadi camni jika aku amek kimia industri. Lantas kakak membalas dengan satu ayat Al-Quran

Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah 2:216)

Aku terhenyak sebentar. Kakak benar. Akulah yang ego, ingin senang sahaja. Perangai malas aku yang patut aku enyahkan dalam diri. Menyalahkan keputusan yang diambil bukanlah satu yang bijak, sebaliknya melakukan sebaik mungkin dengan semampu aku. Lantas soalan baru timbul. What kind of a doctor will you be? Soalan ini benar-benar buat aku takut, takut apa yang aku bawa dalam diri. Takut tak mampu menjadi doktor yang mampu menyelamatkan. Dah 4 tahun berada dalam bidang ni, soalan sama aku tanyakan pada diri supaya aku cepat-cepat sedar dan bangkit dari semangat yang hilang itu =)

The fun fact is average Gen Y changes job an average of 29 times and the average time in one job is 1.1 years! A common complaint from employers about Gen-Y is that they want everything right now. It's instant gratification they seek, and if they don't find it. they quickly lose interest and look elsewhere. They want job satisfaction without having to work at it. (Female, Jan 2010)

Aku memang ada perangai gen-y ni. terkadang mudah sangat rasa jemu. tapi aku cepat-cepat bangkit..paling utama yang selalu aku buat ialah baca sirah nabawiyah. Kisah Rasulullah memang buat aku naik semangat, jadi malu terus pada Rasulullah saw. Semangat datang tapi tak kekal lama, 2-3 hari dah turun then aku recharge balik. Aku banyak menelusuri perjalanan hidup aku, saat aku menanyakan Allah adakah aku patut pergi sahaja, Allah menjawab dengan jawapan yang tak aku duga.

Lama-lama, aku lebih suka dengan keadaan-keadaan susah berbanding keadaan senang. Ia buat kita lebih banyak bersyukur dan rendah diri.


You're everything that I want
I'll never give up
Been through this before
And it can get rough
You can push me away
I can deal with the pain
I need you to know
You're everything that I want

Sabtu, Juli 31

pada suatu pagi hari

Maka pada suatu pagi hari
ia ingin sekali menangis
sambil berjalan tunduk sepanjang lorong itu.
Ia ingin pagi itu hujan turun rintik-rintik dan lorong sepi
agar ia bisa berjalan sendiri saja sambil menangis
dan tak ada orang bertanya kenapa.


Ia tidak ingin menjerit-jerit berteriak-teriak
mengamuk memecahkan cermin membakar tempat tidur.
Ia hanya ingin menangis lirih saja
sambil berjalan sendiri dalam hujan rintik-rintik di lorong sepi
pada suatu pagi

Sapardi Djoko Damono, 1973

Ini jam 3 pagi. Baru aku sedar betapa aku telah memaksakan diri aku terlalu banyak. Kadang-kadang, aku ingin jadi lurus, tanpa memendam sebarang rasa. Ingin aku luahkan segala apa yang aku rasa. Ingin aku ekspresikan apa yang ingin aku tunjukkan. Aku pendam terlalu lama, ibarat makan hati berulam jantung.

Ikhlas ani, ikhlas. Sia-sialah nanti.


Minggu, April 25

mesej

Masa di Bandung, saya ada seorang mentor yang akan membantu saya dalam hal-hal belajar dan pada saya segala macam hal. Kadang-kadang, saya tak tahu nak bagitahu sesiapa, saya bagitahu akak mentor saya. Seingat saya, agak susah untuk mendapatkan contact numbernya kerana pada masa tersebut, di angkatan 2005 terdapat 2 nama yang sama. Saya pula hanya mengetahui nama depannya sahaja. Akak mentor saya sangatlah baik. Dia yang mesej saya dahulu (bukan kerana saya tidak mahu memulakan langkah pertama, cuma sebelum sempat saya menghantar mesej perkenalan, akak mentor saya telah dahulu melakukan langkah pertama)

 Kali pertama bertemu 4 mata dengan beliau, saya jadi segan. Akak beria-ia mengajak saya ke majlis ilmu. Seingat sayalah, tajuk talk tersebut ialah Nikah Connecting People. Tajuk hangat. Saya je yang hangat-hangat tahi ayam. Saya pergi kerana memenuhi permintaan akak mentor saya (ye saya tahu niat saya tak betul, but at least saya dapat juga beberapa nasihat dari talk tu)

"Mana akak tu? " tanya saya pada sahabat saya yang mengenali akak mentor saya.

"tue..." sambil jarinya mengarah pada seorang akak di hadapan dewan.

Akak ahli Islamic Malaysian Association (IMAN) rupanya. Sepanjang kenal akak mentor saya, saya melihat transformasi besar yang beliau lakukan. Mengenakan tudung labuh. Saya bertambah segan dengan akak mentor saya. Ini tidak termasuk mesej-mesej semangat yang saya dapat dari beliau dan juga tips-tips belajar yang akak mentor saya kongsikan dengan saya. Akak mentor saya sentiasa punya nasihat yang kadang-kadang buat saya semangat dan pada masa yang sama buat saya menangis menginsafi akan kejahilan diri.

mesej satu:

Salam Ani,
InsyaAllah ani, ingat jangan bertangguh dalam menuntut ilmu. Kalau ani tidak tahu, masa itulah ani belajar dan mencuba yang baru. Jangan malu, jangan malas dan jangan takut.
Belajar adalah hak kita. Kita kena benar-benar bertanggungjawab dengan amanah kita.
Kelak, kita akan jadi doktor, sudah semestinya kita mahu menjadi Hiqh Quality Full Packaged doctor. Di situlah kita diperlihatkan ilmu dan skill kita.
Mesti kita tidak mahu kecewakan pesakit-pesakit kita tak?Ayo, dari sekarang kita bermula :)
Wallahualam 
mesej dua:
Salam ani,
Alhamdulillah, ada dokter spesialis anes pernah nasihatkan macam ini,
"Jadlah kalian seperti anak kecil, apabila melihat sesuatu mereka melihat dengan teliti dan kritis. Apabila mereka tidak tahu, mereka cepat bertanya, apabila mereka merasa tidak puas dengan jawapan itu, mereka akan terus mencari"
Syukur, saya dipertemukan dengan insan sebaik beliau. Beliau tahu kata-kata terbaik untuk saya. Kangen~

Selasa, Maret 30

hurm

Saya nak menulis. Tapi tak tertulis-tulis lagi.

Sudah hampir sebulan saya bercuti. Masih bersisa 1 bulan lagi sebelum saya melangkah ke tahun 4. Alhamdulillah, saya telah lulus ujian akhir. Ini kali pertama saya lulus tanpa perlu mengulang. Kalau dulu, di Bandung mesti ada subjek wajib yang perlu saya ulang.  Semoga berjaya buat sahabat-sahabat saya yang mengulang. Saya mahu kita sama-sama naik tahun.

nota : kalau boleh, dan hanya kalau boleh..biarlah saya yang menggantikan tempatnya dan bukan dia. namun saya yakin. pasti tuhan telah menyediakan jalan terbaik buat dirinya. tabahlah wahai saudariku : )



idea ada. cuma tidak tertulis. hurm