Jumat, Maret 23

9 tahun

Jalan belakang Unpad
9 tahun berlalu cukup mendewasakan bumi Jatinangor. Jatinangor, tempat belajar ilmu medis pertamaku. Tempat mengenal erti menghargai, mensyukuri nikmat sebuah kehidupan dan pendidikan.

12 tahun lalu, aku menjejakkan kaki di bumi Unpad, Jatinangor. Universiti padang jarak padang terkukur. Aku tiba di Unpad pada senja hari Ahad. Sampah sarap penuh di sepanjang jalan di fakultas ku. Hari Ahad adalah hari Paun, singkatan untuk pasar Unpad.

Hari ini, Unpad begitu indah sekali. Penuh kehijauan. Padang bola kekuningan sudah tidak ada. Stadium unpad tersergam indah. Dahulunya mahasiswa berkumpul beramai-ramai melakukan aktivitas di tengah padang kuning, kini sebuah masjid tersergam indah di tengah pusat aktiviti Unpad.
Masjid Unpad


Aku menuju ke toko buku mentari. Toko buku kecintaanku saat di Jatinangor. Nama kedainya masih mentari, cuma bukunya sudah tiada. Seorang anak muda berjualan di situ. Menjual alat tulis dan bahan printing. Mungkin pak cik tersebut sudah meninggal dunia. 9 tahun berlalu, terlalu banyak perubahan berlaku.

Sayang sekali. Tidak aku ambil fotonya bas Damri. Bas yang sentiasa aku gunakan kalau mahu ke Kota Bandung. Bas Damri kini lagi canggih dan punya aircond. Tidak seperti yang aku naiki dulu. Kerusinya sahaja sudah koyak rabak apatah lagi tingkapnya.  Kalau hujan lebat, pasti kebasahan semua.

Ah, Jatinangor. 9 tahun yang cukup mendewasakanmu. Semoga 3 tahunku di sana juga mendewaskan diri dan memaknakan hidup ini menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Rindu pada hal yang mendewasakan. Rindu pada hal yang ingin disyukuri. Kunjungan ke Bandung kali ini lebih kepada kunjungan nostalgia, kuliner, wisata alam serta penyembuhan rohani. Agar tidak lalai tentang tujuan hidup.

Kamis, Maret 8

Selamat hari wanita


Hari ini adalah hari Wanita sedunia. Pagi hari ini, mendapat pesan peribadi dari sahabat saya. Mengucapkan selamat hari wanita. Entah, tak tahu nak kata atau rasa apa. Menjadi wanita itu sendiri menakjubkan. Menjadikan wanita muslimah dengan peribadi tangguh adalah idaman semua.

Hari ini juga hari kelahiran arwah sahabat saya. Sudah hampir 3 tahun beliau meninggalkan kami. Meninggalkan sejuta rasa semasa keberadaan beliau di dunia ini. Untuk hari wanita kali ini, mahu saya ceritakan pasal arwah sahabat saya. Wanita muslimah berperibadi tangguh.

Sekejap sahaja tempoh perkenalan saya bersama beliau. Saya sentiasa mahu menjadi seperti arwah. Seorang yang solehah, berakhlak baik dan sentiasa murah senyuman walaupun ditimpa masalah. Arwah sentiasa menjadi sahabat dan pendengar yang baik. Sentiasa bertanya sekiranya kami mempunyai masalah. Dan berusaha membantu sekiranya memerlukan. Arwah sentiasa berprasangka baik. Hidup arwah, walaupun singkat, terisi dengan aktiviti dakwah dan tarbiah. Sepertinya arwah hidup lebih lama berbanding usianya.

Pernah suatu ketika, arwah meluahkan kegusarannya mengenai hidupnya. Lantas saya katakan pada arwah, di akhirat kelak saya jadi saksi awak adalah sahabat yang mengajak berbuat baik dan meninggalkan perkara lagha.

Selamat hari wanita dan selamat hari lahir. Damailah kamu di sana sahabat. Memori ini masih segar. Senyuman dan lembut tutur katamu masih lagi diingatan. Perkenalan singkat kita menjadi pemangkin untukku supaya menjadi wanita muslimah berperibadi tangguh sepertimu.

Rindu benar.