Minggu, Mei 30

Separuh

Sudah hampir setengah tahun 2021. Aku bersyukur masih diberikan peluang untuk terus berbakti hingga kini. Kehidupan hari ini masih seperti beberapa bulan lalu. Tidak di rumah, di hospital. Kalau tengok sejarah mysejahtera, check in aku hanyalah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Petra.

Begitulah aku lalui kehidupan beberapa bulan lalu. Ada masa-masa betul betul lemah semangat. Tapi esoknya masih bekerja seperti tiada apa yang berlaku. Ada masa, aku akan fikir mesti ada benda yang boleh buat aku semangat. Contoh, MO tak cukup, takpe. Aku ada MA bagus. MA tak bagus, takpe aku ada SN yang bagus. SN tak bagus, takpe aku ada HO bagus. HO tak bagus, takpe aku ada MO oncall bagus. MO oncall tak best, takpe aku ada bos oncall best. Sehingga sekecil-kecil hal adalah benda yang paling membahagiakan untukku. Begitulah pandemik Covid 19 ni mengajar seorang aku mensyukuri hal-hal kecil yang Allah berikan kepadaku.

2020
Kalau aku boleh simpulkan apa yang telah aku lalui pada tahun 2020, ia semestinya 2020 adalah tahun aku broken and fractured. Allah betul-betul beri ujian yang menyebabkan aku hampir hancur berkecai. Broken into pieces. Perlahan-lahan, aku kutip sedikit-dikit sisa dan cantumkan kembali rapat-rapat menjadi aku kembali. Tidak pulih sepenuhnya lagi, tapi sangat bersyukur aku mampu berdiri sendiri seperti dulu.

Kalau ada satu benda yang aku belajar dari ujian lepas. Semestinya tiada sesiapa yang mampu menenangkan kita, membuat kita berasa lebih baik berbanding berlama-lama mengadu kepada Allah. Aku menangis banyak. Tak kira waktu. Pergi kerja boleh menangis. Masa solat boleh menangis. Duduk sendirian dalam bilik menangis. Sahabat kita ada tapi tidak pernah sama dengan apa yang Allah berikan pada kita. Ketenangan hati dan kejernihan fikiran. Hanya Allah mampu beri kita itu. Dan kita mampu bangkit sendiri!! Aku menyendiri banyak kini. Banyak hal yang aku diamkan dan pendamkan. Umpatan di tempat kerja pun sudah tidak aku libatkan diri. Satu perkara yang aku kira hal baik yang aku dapatkan selepas diuji di tempat kerja. Pergi kerja dan buat yang terbaik. Persetankan semua kata-kata nista. Bekerja mengikut SOP standard yang ditetapkan. 


2021
Aku tutup kisah kehidupan 2020. Alhamdulillah untuk ujian hati, kerjaya, rezeki dan keluarga yang Engkau berikan tahun lalu. Perlahan-lahan aku bangkit kembali. 



Selasa, Oktober 13

Kamu

Adalah sesuatu yang sukar untuk melupakan seseorang yang baik budinya

Sekiranya dia bukan seorang budiman, pastinya melupakannya adalah hal kecil tiada ragu-ragu

Ah, entah kenapa asyik teringat padanya!

Mereka yang baik budinya, lembut tutur kata benar-benar menyentuh hebat peribadi diri ini

Kamu,

Semoga kamu baik-baik sahaja. Allah, jagalah mereka semua di sana. Semoga mereka tetap semangat dalam pekerjaan merawat pesakit-pesakit di sana.


Senin, Agustus 24

Ogos 2020

Seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan Ogos adalah bulan yang ditunggu-tunggu. Tambahan pula tahun ini 20 Ogos bersamaan dengan 1 Muharram 1442H. Permulaan tahun baru Islam. 


Tahun ini terlalu banyak berita-berita yang tidak diingini diterima. Tetapi hidup tetap perlu terus dan menerima ketentuan Allah dengan sabar. Tidak semua kita dapatkan dalam hidup. Tidak semua yang tidak dapat itu buruk. Allah janji akan diganti lebih baik. 



Obsesi lama yang diasah kembali. My current coping mechanism. Ayuh, kita bermula sekali lagi!

Selasa, Agustus 11

Adios!


Thank you for 15 wonderful seasons
You too will be missed

Senin, Juli 13

26 bulan

Aku kini dalam fasa depresi untuk stages of grieving. Sepanjang 26 bulan ni aku banyak hilang benda yang aku mahu ia kekal dengan aku

Boboi-kucing aku mati bulan Mei 2 tahun. Masa Boboi mati, sedihnya macam tak percaya Boboi dah tiada. Hidup kena terus.

Rancangan hujung minggu 2days1night musim ketiga diberhentikan secara mengejut bulan Mac tahun lepas. Masa rancangan ni tetiba tiada di setiap hujung minggu, dunia rasa kosong. Sedih pun ada. Ahli 2d1n musim ketiga memang lain macam dinamik hubungan mereka. Sampai sekarang, tengok 2d1n musim keempat pun tak sama macam dulu punya. Hidup tetap kena terus

Aku mula rasa burn out sejak bulan April tabun lepas. Entah kenapa rasa tak mahu melakukan apa-apa. Jalani kehidupan seadanya. Tapi sebab ada sahabat yang sama-sama nak berusaha sambung belajar, aku gagahkan juga. Sama-sama usaha buat poster dan kajian. Sama-sama usaha jadi pengajar. Libatkan diri dengan banyak aktiviti luar dan kursus. Mungkin sebab dah pulun habis-habisan, tak dapat juga keputusan yang kita nak. Semangat tu jadi hilang balik. Pergi kerja dan balik. Semangat mengajar pun tiada. Semangat buat jadual kerja pun tiada. Semuanya dah bukan menjadi keghairahan aku.

Aku tahu aku perlukan bantuan. Aku jawab soalan ujian DASS online. Aku dah masuk kategori moderate depression. Sedang berusaha untuk kekal positif disamping bantuan sekeliling. Sikit lagi nak masuk fasa penerimaan. Moga segalanya berakhir dengan baik.

Doakan.

Rabu, Juni 17

Falsafah kucing yang dilupakan

Satu malam, ketika sedang memandu pulang dari tempat kerja, aku ternampak seekor anak kucing jalanan sedang melompat-melompat mengejar serangga terbang. Tidak dapatku pasti serangga apakah itu. Gelagat anak kucing tersebut dapatku lihat kerana disinari cahaya lampu jalan. Melihatkan reaksi anak kucing itu yang sedang galak bergurau dengan serangga tersebut menyebabkan aku mengimbas kembali falsafah tentang kucing yang pernah aku pegang dulu.

Kalau rasa sedih, tengoklah kucing. Kalau rasa rezeki kita ni kurang, tengoklah kucing. Allah janji setiap hambaNya mendapat rezekinya tidak kira besar atau kecil.  Bila tengok kucing, baru sedar rezeki kita Alhamdulillah dah cukup untuk kita. Bila rasa sedih, aku tengok kucing main sekor-sekor dia dengan gembira. Kita pun boleh memilih untuk gembira atau bersedih. Jadi pilihlah gembira.

Terus tersenyum bila mengingat kembali perihal falsafah tentang kucing ni. Sebab kucing memang sangat dekat dengan aku. Kucing paling aku rindu dan jadi peneman paling baik dah 2 tahun mati kena langgar. Rindu betul pada Boboi. 5 tahun jadi peneman aku. Tempat kami tanam Boboi tu dah bercambah jadi pokok dah. Masa hidupnya berbakti, matinya masih bermanfaat. 

Benda paling ketara yang berubah adalah wajahku kalau aku sedih. Ia terlihat jelas pada gambar yang diambil sejak 3 tahun kebelakangan. Wajah aku paling welcoming bila aku bahagia. Aku mahu terus tersenyum, menghargai peluang yang diberikan, memberikan yang terbaik dan sentiasa menyebarkan kebaikan. 



Selasa, Juni 9

63-50

Usia 20-an
Rajin buat senaman. Rajin jogging dan rajin beriadah. Masuk kerja, riadah sukan diet semua ke laut. Berat dari 46kg terus menaik ke 50+. 

Usia 30-an
Tahun 2018, berat aku pernah mencecah 64 kg. Memang mengembang terus. Takde turun-turun. Mula ada kesedaran nak jaga kesihatan bila tengok pesakit kronik umur 30an nampak macam umur 50an. Motivasi dan semangat aku bermula di situ. Terus mula perancangan untuk kekal sihat. Orang mula tanya, doktor nak kahwin ke diet senaman semua? Aku jawab saya nak sihat je.

2018
Bermula usaha kekalkan kesihatan diri. Mula memilih aktiviti senaman apa yang sesuai dengan aku. Kalau dulu aku suka berjogging, kini aku malas keluar ke taman. Aku pilih buat senaman di rumah. Senaman terbaik dan konsisten hingga kini adalah senaman tabata dan skipping. Setiap kali buat memang rasa nak pengsan.  

Mula cekalkan hati tidak mengambil makan malam setiap kali syif  malam. Memang dugaan paling besar untuk staf kesihatan. Malam-malam rasa nak makan beramai-ramai. Mula-mula nak cakap tak nak pada staf tu memang rasa bersalah. Jadi mula-mula aku cakap saya ambil sikit je eh. Dari sikit lama-lama jadi tak nak terus. Staf aku pun lama-lama dah tak pernah ajak makan malam sama-sama dah. Sekali sekala rasa nak bagi ganjaran pada diri sendiri aku makan juga. Tak selalu, 1-2 kali sebulan.  Kat rumah, memang siap-siap cakap kat ibu bapa aku, aku tak nak makan malam. Jadi ibu bapa aku dah faham dari awal lagi. Aku tak amalkan diet agresif, kira kalori bagai. Cuma amalkan porsi makanan suku-suku separuh.  Dan makan apa sahaja aku nak dalam porsi yang dibenarkan.

2020
Alhamdulillah. Berat masih sama sejak berbulan-bulan. Kekal 50-51kg. Dah cukup syukur sebab dah capai berat badan ideal. Senaman tabata dan tak makan malam, boleh consider intermittent fasting dah ni. Kolesterol normal, HDL dan LDL pun okay. Harap dapat kekal.

Pencapaian terbaik tahun ni adalah berjaya capai puncak gunung Stong bulan Mac haritu. Mak ai, seksa daki gunung Stong lagi dari daki Gunung Kinabalu.