Satu malam, ketika sedang memandu pulang dari tempat kerja, aku ternampak seekor anak kucing jalanan sedang melompat-melompat mengejar serangga terbang. Tidak dapatku pasti serangga apakah itu. Gelagat anak kucing tersebut dapatku lihat kerana disinari cahaya lampu jalan. Melihatkan reaksi anak kucing itu yang sedang galak bergurau dengan serangga tersebut menyebabkan aku mengimbas kembali falsafah tentang kucing yang pernah aku pegang dulu.
Kalau rasa sedih, tengoklah kucing. Kalau rasa rezeki kita ni kurang, tengoklah kucing. Allah janji setiap hambaNya mendapat rezekinya tidak kira besar atau kecil. Bila tengok kucing, baru sedar rezeki kita Alhamdulillah dah cukup untuk kita. Bila rasa sedih, aku tengok kucing main sekor-sekor dia dengan gembira. Kita pun boleh memilih untuk gembira atau bersedih. Jadi pilihlah gembira.
Terus tersenyum bila mengingat kembali perihal falsafah tentang kucing ni. Sebab kucing memang sangat dekat dengan aku. Kucing paling aku rindu dan jadi peneman paling baik dah 2 tahun mati kena langgar. Rindu betul pada Boboi. 5 tahun jadi peneman aku. Tempat kami tanam Boboi tu dah bercambah jadi pokok dah. Masa hidupnya berbakti, matinya masih bermanfaat.
Benda paling ketara yang berubah adalah wajahku kalau aku sedih. Ia terlihat jelas pada gambar yang diambil sejak 3 tahun kebelakangan. Wajah aku paling welcoming bila aku bahagia. Aku mahu terus tersenyum, menghargai peluang yang diberikan, memberikan yang terbaik dan sentiasa menyebarkan kebaikan.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar