Selasa, Februari 6

Refleksi diri

Selesai menjalani latihan sangkut di posting neuromedikal HRPZII. Banyak yang dipelajari dan banyak sangat pengajaran sepanjang berada di posting neuromedikal.

Di akhir posting, aku sempatkan diri menjamu staf-staf klinik neuromedikal sebagai tanda penghargaan. Semasa sedang makan bersama kakak jururawat, Kak Wardah sempat berbual dengan aku. Sempat beliau kongsikan kisah betapa beliau sangat bahagia bekerja di Hospital Kuala Lumpur. Sukanya beliau bekerja di HKL kerana bekerja semata-mata, tiada gosip dan politik dalaman. 

Semasa di HSIP, aku benar-benar bekerja. Seronok betul waktu itu. Sejak aku berpindah, kehidupan agak lain. Aku cuba sedaya upaya untuk bekerja dan tidak terlalu mengambil pusing hal-hal di jabatan kecemasan tempat aku bekerja. Tapi itulah, walaupun aku cuba mengelak, ada juga beberapa kali kisah-kisah orang yang sampai kepadaku. Pernah aku katakan pada temanku, tak menariknya banyak interaksi dengan manusia. Semakin banyak interaksi, semakin banyak pula kisah-kisah orang aku tahu. Aku faham benar perasaan Kak Wardah, sebab aku pun pernah melalui fasa tersebut. Datang bekerja semata-mata bekerja. Tidak melibatkan diri dengan umpatan manusia. Gembira dan lapang dada sangat. Kita tak perlu menjatuhkan sesama kita, bercakap kasar hanya untuk menyatakan pendapat kita. 

Di akhir perbualan, sempat Kak Wardah doakan kejayaan aku agar dapat lulus pengajian perubatan sarjana dan menjadi Pakar Perubatan Kecemasan. Bertakung kolam air mataku mendengar doa ikhlas beliau. Seseorang yang mengenali aku barang sejenak berdoa sedemikian untukku. Sedangkan aku sendiri sentiasa ragu-ragu samada aku mampu meneruskan pengajian sarjana ini atau tidak. Semoga Allah juga permudahkan urusan Kak Wardah yang sentiasa komited dan profesional dalam perkhidmatan.












Sabtu, Agustus 5

Nikmat paling padat

Seminggu dua ke depan, jadual kerja sedikit kacau bilau. Dua hari lepas aku kerja malam. Selepas kerja malam, masuk pula syif petang tu. Perasaan nak ke tempat kerja petang semalam sangatlah berat hati. 


Masuk kerja petang, keadaan zon kuning agak tenang. Pada aku, kalau sempat menulis dan duduk barang sejenak di kaunter, sudah terlalu damai untuk zon kuning.


Seusai menjalankan perawatan ke atas pesakit, masuk waktu solat maghrib pula. Tiada kes baru yang datang dan pesakit zon kuning kebanyakan semua tengah menunggu darah atau doktor jabatan yang dirujuk. Cepat-cepat aku ke bilik atas panggilan untuk solat. 


Solat senantiasa menjadi kerehatan pada aku. Selesai solat, terasa nikmat betul. Syukur kerana sesibuk apapun, Allah tetap rezekikan aku untuk solat. Sempat bertafakur sebentar di atas sejadah semasa syif adalah nikmat paling padat.



Selamat datang Ogos. Bulan kecintaanku dalam banyak-banyak bulan. Bulan melepaskan impian paling dalam dan bulan menapak impian ke depan dengan jiwa besar. 




Sabtu, Desember 31

Persediaan

Semalam, tanggal 30/12/2022, ibu kepada sahabat baik kami meninggal dunia. Harini kami menyempatkan diri melawat sahabat kami bertanyakan keadaan beliau. Sambil-sambil berbual, sempat beliau menceritakan tentang arwah ibunya. Sehingga sekarang masih sangat terkesan perkongsian beliau tentang arwah ibunya.

Sebagai seorang pesakit kronik, arwah ibunya sepertinya telah membuat persediaan yang rapi bagaimana sekiranya beliau meninggal dunia. Dari sekecil hal kain kapan sehingga ke amanat arwah tentang bila arwah dikebumikan. Telah lama arwah ibunya sediakan kain kapan untuk digunakan membalut tubuhnya nanti. Bilamana keadaan mendesak, amanat seperti tidak menekan dada dan tidak diperpanjangkan lagi umurnya tersimpan kemas oleh setiap anaknya. Masing-masing akur dengan pilihan sang ibu dan ini seharusnya tidak menjadi satu masalah lagi bila masanya untuk membuat keputusan. Arwah ibunya juga berpesan untuk dikebumikan pada waktu pagi. Semua amanat arwah ibunya diturutkan oleh anak-anaknya.

MasyaAllah. Bermonolog aku dalam perjalanan pulang ke rumahku tadi. Persediaan kematian adalah sama besarnya dengan persediaan masa hadapan. Kerana kematian itu datang tanpa diduga. Melewati usia 30an, menghadapi kematian juga adalah satu persediaan masa hadapan. Semoga setiap perkhabaran kematian menginsafkan kita bahawa kita juga bakal kembali kepada Allah. 

Selamat menyambut tahun baru 2023. Satu tahun berlalu. Semoga bertambah amal kebaikan kita seiring waktu. 

Rabu, September 28

Ujian atas kertas

 


Terjumpa kawan lama selepas bertahun tidak ketemu

Okay tak master?- tanya kawanku

Allahu, menyesal- jawabku tanpa ragu😅

Direzekikan Allah menyambung pengajian setelah hampir sedekad bekerja. 

Semoga inilah yang terbaik.

Masih sangat ragu dengan keupayaan sendiri.

Dari dulu sehingga kini.

Dulu-dulu

Rasa tak layak jadi doktor

Sekarang

Rasa tak mampu nak belajar dan lulus ujian atas kertas

(ragu to the max)😩

Eh,

Dah kenapa ni


Sila sambung ulangkaji dan teruskan usaha


Mohon doanya

Ujian atas kertas 

4-5 Oktober 2022




Jumat, Mei 6

3 tahun

 


Salam Aidilfitri 1443H

Alhamdulillah

Untuk segalanya



Minggu, Mei 30

Separuh

Sudah hampir setengah tahun 2021. Aku bersyukur masih diberikan peluang untuk terus berbakti hingga kini. Kehidupan hari ini masih seperti beberapa bulan lalu. Tidak di rumah, di hospital. Kalau tengok sejarah mysejahtera, check in aku hanyalah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Petra.

Begitulah aku lalui kehidupan beberapa bulan lalu. Ada masa-masa betul betul lemah semangat. Tapi esoknya masih bekerja seperti tiada apa yang berlaku. Ada masa, aku akan fikir mesti ada benda yang boleh buat aku semangat. Contoh, MO tak cukup, takpe. Aku ada MA bagus. MA tak bagus, takpe aku ada SN yang bagus. SN tak bagus, takpe aku ada HO bagus. HO tak bagus, takpe aku ada MO oncall bagus. MO oncall tak best, takpe aku ada bos oncall best. Sehingga sekecil-kecil hal adalah benda yang paling membahagiakan untukku. Begitulah pandemik Covid 19 ni mengajar seorang aku mensyukuri hal-hal kecil yang Allah berikan kepadaku.

2020
Kalau aku boleh simpulkan apa yang telah aku lalui pada tahun 2020, ia semestinya 2020 adalah tahun aku broken and fractured. Allah betul-betul beri ujian yang menyebabkan aku hampir hancur berkecai. Broken into pieces. Perlahan-lahan, aku kutip sedikit-dikit sisa dan cantumkan kembali rapat-rapat menjadi aku kembali. Tidak pulih sepenuhnya lagi, tapi sangat bersyukur aku mampu berdiri sendiri seperti dulu.

Kalau ada satu benda yang aku belajar dari ujian lepas. Semestinya tiada sesiapa yang mampu menenangkan kita, membuat kita berasa lebih baik berbanding berlama-lama mengadu kepada Allah. Aku menangis banyak. Tak kira waktu. Pergi kerja boleh menangis. Masa solat boleh menangis. Duduk sendirian dalam bilik menangis. Sahabat kita ada tapi tidak pernah sama dengan apa yang Allah berikan pada kita. Ketenangan hati dan kejernihan fikiran. Hanya Allah mampu beri kita itu. Dan kita mampu bangkit sendiri!! Aku menyendiri banyak kini. Banyak hal yang aku diamkan dan pendamkan. Umpatan di tempat kerja pun sudah tidak aku libatkan diri. Satu perkara yang aku kira hal baik yang aku dapatkan selepas diuji di tempat kerja. Pergi kerja dan buat yang terbaik. Persetankan semua kata-kata nista. Bekerja mengikut SOP standard yang ditetapkan. 


2021
Aku tutup kisah kehidupan 2020. Alhamdulillah untuk ujian hati, kerjaya, rezeki dan keluarga yang Engkau berikan tahun lalu. Perlahan-lahan aku bangkit kembali. 



Selasa, Oktober 13

Kamu

Adalah sesuatu yang sukar untuk melupakan seseorang yang baik budinya

Sekiranya dia bukan seorang budiman, pastinya melupakannya adalah hal kecil tiada ragu-ragu

Ah, entah kenapa asyik teringat padanya!

Mereka yang baik budinya, lembut tutur kata benar-benar menyentuh hebat peribadi diri ini

Kamu,

Semoga kamu baik-baik sahaja. Allah, jagalah mereka semua di sana. Semoga mereka tetap semangat dalam pekerjaan merawat pesakit-pesakit di sana.