Sabtu, Januari 14

Ibu

Satu malam, aku sedang berdiskusi bersama rakan-rakan. Ibu telefon aku. Aneh bagiku. Ibu tidak pernah menelefonku selewat waktu ini. Refleks yang tak dapat kukawal, aku tanya ibu.


Ada apa-apa yang berlakukah?


Tidak. Ibu hanya ingin mendengarkan suaramu, nak.


* haru dan tersentap *


Ibu semakin kurus sekarang. Kurang selera makan dan asyik rasa nak muntah aje. Ubat yang ibu makan buat ibu rasa nak muntah. Doakan ibu saya ya. * Terima kasih *



“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Surah Luqman, 31: 14)

Dulu, bila orang tanya nak kerja mana, laju sahaja jawapan aku. Nak kerja Sabah. Takpun, Sarawak. Lepas ibu sakit, banyak pertimbangan aku pada kesihatan ibu. Dan atas takdirNya, Hospital Kuala Krai baru sahaja digazetkan sebagai hospital untuk doktor pelatih.

Nota : Dalam proses isi borang jawatan pegawai perubatan dan pilihan hospital. Balik kampung ajelah. Dah lama merantau.


Sabtu, Januari 7

Tangkap muat 2

Pesan abah untuk aku masa lalu buat aku masa depan.



Nanti bila dah kahwin, anak-anak biarlah terdidik dengan kualiti. Kuantiti penting, tapi kualiti lagi penting. Masa Ani jadi ibu, cabaran dia lagi besar berbanding cabaran abah menjadi bapa sekarang. Biarlah anak sedikit, tapi berkualiti. Tiada guna ada anak ramai, tapi seorang pun tak boleh mendoakan kita. Kualiti dulu, baru kuantiti.

5 minit nasihat abah ketika menghantar aku ke sekolah, 10 tahun lepas.

Ani masa kini, buatlah apa-apa yang patut.

5 minit yang tenang. InshaAllah, cuti raya cina ni aku topup banyak-banyak dengan abah.

Kamis, Januari 5

Masa

Haji, saya minta maaf kerana menyatakan masa saya sudah terlalu sempit. Sebenarnya sayalah yang menyempitkan masa saya sendiri. Jika Haji hendak belajar dengan saya, bolehlah datang pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Selepas Isyak. 
( Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman)

Berkali-kali baca. Tidak pernah jemu.
Malah, sentiasa berjaya buat kolam mata ini bertakung. Sedikit.

Senin, Januari 2

Tangkap muat

Tangkap muat 1:

Jumaat. Ketika kami-kami ingin menjawab soalan pilih satu yang terbaik, kami didendangkan dengan bacaan doa. Aku tak pasti samada ia di seluruh hospital. Tapi kami dapat mendengarnya. 

Kita mulakan hari ini dengan bacaan doa. Dan antara bait-bait doa yang dibacakan, semoga pesakit-pesakit diberikan kecergasan dan kesihatan yang lebih baik. 

Kalau begini hari-hari, aku mahu. Penuh barokah. 

Tangkap muat 2:

Nanti bila sudah kerja, bila datang awal, pilih tempat letak kereta jauh-jauh. Supaya orang yang datang lambat boleh letak kereta lebih dekat- Dr Sahar, seorang pensyarah yang super duper cool.

Mula-mula dengar nasihat ni, semua gelak. Satu nasihat yang susah nak digest, mudah dilupakan dan payah nak buat. Tapi kena buat dan kena amal.

Tangkap muat 3 :

Umur 24 dah ada orang merisik. Kau apa ada?
Kawan, kau memang tak agak-agak ye.
Aku juga wanita lah kawan : P




Great ambition and conquest without contribution is without significance. What will your contribution be? How will history remember you? -William Hundert, The Emperor's Club.




Senin, Desember 26

o.p.k.i.m


Jangan serik untuk datang ye, dik

InshaAllah. Takkan pernah serik.


How often I have found that we grow to maturity not by doing what we like, but by doing what we should. How true it is that not every ‘should’ is a compulsion, and not every ‘like’ is a high morality and true freedom. - Karl Rahner







Sabtu, Desember 24

transferens

Biasa-biasa hujung minggu aku ada aktiviti. Minggu ini, agak kelam dan kosong. Mahu duduk diam-diam atau tidur sahaja, tapi itu bukan aku. Bagai kucing hilang anak, cacing kepanasan di bilik. Senarai apa-yang-perlu-dibuat telah aku tulis. Tapi tidak di-laku-apa-apanya. Jadilah aku manusia kaki suka tangguh-tangguh kerja. Walau, aku harap sebenar-benar jadinya itu bukan aku.

Pencapaian terbaik aku sehingga pagi ini adalah fokus dan membaca. Yes. Itu sudah cukup baik untuk prestasi aku pada pagi ini. Jadi aku baca satu blog yang aku suka gaya tulisan dia. Menarik bai, benar-benar menarik. Tanpa aku sedar, akhirnya telah siap aku baca blog itu dari awal sampai akhir. Yes! Itu fokus aku pada dunia blog. Baca dan hayati tanpa sedar telah habis arkib blog tersebut.

Musim hujan. KL hujan lebat pagi, petang, malam. Tak kira waktu. Hujan tak halang aku pergi pagar makan nasi kukus. Hujan tak buat aku kisah pada basah baju. Aku lebih kisah pada perut aku. Kisah juga pada sindrom mengidam aku yang tak hilang-hilang sejak dua minggu.

.......


Kalaulah belajar itu aku kisahkan seperti makan. Berkorban apa sahaja. Redah onak dan duri. Oh, sepatutnya. Bukan kalau lagi. Lebih-lebih lagi untuk aku. Tak sedar-sedar diri lagi. Sudah mahu habis belajar. Ilmu masih ciput.

Selasa, Desember 20

sembang

"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."-Pepatah Arab

Salam,

Aku amat teruja dengan binatang. Apatah lagi ular. Heh.

Semalam aku sempat menonton dokumentari National Geographic di TV1. Dan hari ini, sebelum pergi on-call, aku sempat tonton barang 10 minit. Apa yang membuat aku tertarik dan merasa unik ialah tentang pengkaji-pengkaji ular yang diceritakan. Salah seorang pengkaji ular (aku lupa nama dia) sanggup ke Afrika dan merata tempat kat dunia ni hanya semata-mata untuk mengkaji ular.

Aku tertarik dengan kajian yang dia buat. Bermula dengan satu persoalan, kenapa ular berbisa ini imun pada bisanya sendiri? Sebab kadang-kadang, instead of mematuk binatang lain, terkadang ular-ular ini terpatuk diri mereka sendiri dan  menariknya racun bisa ular itu tidak memberi kesan langsung pada mereka. Kenapa? Bermula dari persoalan itulah, si pengkaji ini berusaha memahami ular dan mencari ular di serata dunia untuk dibuat kajian, diambil DNA-nya. Dan dia berharap melalui kajian yang dibuat, anti-venom yang lebih baik dapat dihasilkan. Menarik bukan? Susah kot nak kaji benda alah  ni, lebih-lebih lagi benda-benda macam ni memang membahayakan nyawa. Sekiranya berjaya, kajiannya boleh memberi manfaat kepada seluruh manusia. Aku selalu merasakan pengkaji-pengkaji kat makmal adalah orang yang mengubah dunia. 

Ini juga membawa aku pada perkongsian oleh Prof aku masa kat OnG dulu. Katanya, ada satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan pengkaji untuk mengkaji risiko-risiko untuk mendapat cardiovascular diseases (CVD). Pada akhir kajian mereka, dapat disimpulkan anak-anak yang sebelumnya lahir tidak cukup bulan lebih berisiko tinggi mendapat CVD berbanding bayi-bayi yang cukup bulan. Bila dikaji lebih dalam, rupa-rupanya, bayi-bayi yang memang tak cukup bulan, kecil untuk umur gestasi mereka ini sebenarnya telah terbiasa dengan keadaan serba kekurangan. Sel-sel badan mereka telah diprogramkan untuk beradaptasi dengan nutrisi yang sedikit semasa di dalam kandungan. 

Bagi ibu bapa pula yang bayinya kecil, tak cukup bulan ni biasanya sesudah bayi lahir akan cenderung untuk overfed the baby since they thought that the only way to increase the baby weight. Melalui kajian inilah keluarnya saranan untuk memberi bayi cukup-cukup makan je. Jangan terlebih-lebih atau terkurang. Kerana sel-sel badan akan mudah rosak apabila tetiba diberi makan lebih-lebih dan seterusnya membawa risiko yang lebih tinggi untuk mendapat CVD.

Bagaimana dengan satu kajian begitu mampu mengubah paradigma dunia perubatan. Malah membantu mengurangkan risiko CVD. Unik bukan? (Ke aku je yang syok sendiri?) 

Sebab tu aku rasa SSM menarik :)

Malah, sebelum aku pilih jadi doktor, aku bercita-cita nak jadi pakar kimia. Cipta bahan-bahan industri yang lebih mesra alam agar plastik-plastik sampah boleh degradasikan. Heh.

Ada banyak cara untuk ubah dunia. Duduk rumah didik anak jadi mujahid dan mujahidah juga mampu mengubah dunia. Contoh femes, ibu-ibu kat Palestin dan ibu-ibu kat Turki. Asalkan anda menjadi orang yang bermanfaat, InshaAllah anda sememangnya orang yang mampu mengubah dunia.


“Whenever you find yourself on the side of the majority, it’s time to pause and reflect.” -Mark Twain

-Percayalah, ia tidak akan pernah terlambat untuk pusingan U-