Tampilkan postingan dengan label aku seorang anak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label aku seorang anak. Tampilkan semua postingan

Senin, Januari 13

Sembang meja makan

Di meja makanlah tempat aku berbual bersama abah dan ibu. Jarang benar aku berbual sejak abah dan ibu banyak berkunjung lama di rumah adik bongsuku di Johor.

Sesekali berbual, ternyata terlalu banyak benda yang dikongsi. Sempat aku ceritakan pengalaman temudugaku di UiTM Selayang minggu lepas. 

Ayahku mengeluh menyatakan kisah pagi subuh di masjid semalam. Lalu, aku pun membalas. Tinggalkan perkara yang tidak memberi manfaat kepadamu. Selalu aku nampak abah komen tentang perkara yang sering dilihat atau dibaca di media sosial. Beliau memberi komen tanpa mengetahui perkara sebenar lantas menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan jemaah masjid, atau kalau di media sosial di kalangan pembaca.

Mungkin sudah kebiasaan abah. Selalu serkap jarang begitu. Maka aku cadangkan pada abah supaya sentiasa menjaga lisan dengan beristighfar dan sekiranya mahu komen, cuba komen cuba komen dalam hati. Nak berubah ni memang susah sebab dah sebati sejak dulu lagi abah memang begitu. Harapnya beliau mulakan sedikit demi sedikit

Jumat, Februari 3

Catatan Masa Silam 4

Seingat aku, masa aku membuat keputusan nekad keluar dari sekolah asrama penuh, abahlah orang yang paling kecewa. Wajah kecewa abah aku ingat sampai sekarang. Tapi, aku lagi-lagi ingat wajah resah abah. Aku buat abah resah gelisah satu malam waktu aku berkeputusan keluar jalan-jalan seorang diri (Atau kau boleh baca lari dari rumah)

Waktu itu, apalah yang boleh seorang remaja berusia 13 tahun fikirkan. Abah tak habis-habis bandingkan performance aku di sekolah harian dan sekolah asrama. Ibu memang dari azali kurang bercakap, tambah-tambah ibu masih bekerja waktu itu. Kakakku di asrama. Aku keseorangan waktu itu. Keseorangan dalam menempuh akibat dari keputusan nekad aku itu. (Waktu itu, di tempat aku tinggal belajar di asrama penuh adalah perkara ohsem takde banding, kau keluar asrama kau manusia super pelik, waktu itulah )

Satu malam, tahap keserabutan aku mencapai tahap maksima. Aku nekad keluar rumah. Walau aku hingusan, tapi aku tidak tolol. Ke manalah boleh aku bawa diri. Duit dalam kocek pun takde. Aku kayuh basikal sambil menangis. Kayuhan aku sampai di hadapan surau kampung. Di situ tempat aku tenangkan diri. (Bila aku ingat balik, malu aku nak cerita kat orang betapa jauhnya aku keluar jalan-jalan malam tu)

Abah kerja malam tu. Terus abah minta rakan sekerja dia gantikan dia sekejap. Abah cari aku di rumah kawan-kawan aku. Mesti waktu ini abah super gelisah. Dulu takde telefon bimbit nak sms abah. Aku duduk sekejap sahaja kat surau tu. Tapi mashaAllah, efeknya memang terbaik. Tenang sangat. Dan aku boleh bertenang. Berfikir lebih dalam tentang masa depan aku dan bagaimana aku perlu harunginya.

Balik rumah, abah masih tiada. Aku relaks atas katil. Beberapa ketika, abah datang. Muka abah muka risau. Aku tengok abah dengan mata berkaca-kaca. Mana mungkin aku tinggalkan abah aku yang hensem ni, heh. Hari itu aku nekad, takkan buat abah risau pasal aku. Dan aku belajar sesuatu dari keputusan nekad aku. Jangan risau terlalu banyak, harungi dengan senyuman dan percaya Allah sentiasa bukakan jalan.


Bila aku sambung belajar kat matriks, nasihat  abah pada aku supaya jaga diri. Bila aku ke Indonesia, itu juga nasihat abah. Aku naik hairan, kenapa abah tak pernah nak nasihat aku belajar rajin-rajin. Bila fikir-fikir balik, abah tahu aku akan belajar rajin-rajin. Tapi sekali aku tak jaga diri aku betul-betul, aku boleh binasa. Once broken, considered sold, sis. Ilmu boleh ditimba tapi akhlak yang baik terlahir seiring peredaran masa. Perlu dipupuk bertahun-tahun.

Usia 13 tahun memang epik buat aku.

TanpaMu,
Hatiku mulai resah,
Bisakahku tanpaMu?

TanpaMu,
aku bukan siapa-siapa,
Bisakahku tanpaMu?

Nota : Masih tidak matang macam sahabat-sahabat sekeliling aku.

Sabtu, Januari 14

Ibu

Satu malam, aku sedang berdiskusi bersama rakan-rakan. Ibu telefon aku. Aneh bagiku. Ibu tidak pernah menelefonku selewat waktu ini. Refleks yang tak dapat kukawal, aku tanya ibu.


Ada apa-apa yang berlakukah?


Tidak. Ibu hanya ingin mendengarkan suaramu, nak.


* haru dan tersentap *


Ibu semakin kurus sekarang. Kurang selera makan dan asyik rasa nak muntah aje. Ubat yang ibu makan buat ibu rasa nak muntah. Doakan ibu saya ya. * Terima kasih *



“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Surah Luqman, 31: 14)

Dulu, bila orang tanya nak kerja mana, laju sahaja jawapan aku. Nak kerja Sabah. Takpun, Sarawak. Lepas ibu sakit, banyak pertimbangan aku pada kesihatan ibu. Dan atas takdirNya, Hospital Kuala Krai baru sahaja digazetkan sebagai hospital untuk doktor pelatih.

Nota : Dalam proses isi borang jawatan pegawai perubatan dan pilihan hospital. Balik kampung ajelah. Dah lama merantau.


Rabu, Oktober 6

pada nan wajahnya

Malam.
Air mata ini tak henti mengalir.
Mulanya hanya beberapa titik.
Jatuh.
Satu. Dua. Tiga.
Seminit. Sepuluh minit. Satu jam.
Lama benar.
Aku rindu ibu.
Aku rindu senyuman ibu.
Aku rindu suara ibu.
Aku benar-benar RINDU ibu.

Kembali ke kolej.
Aku dan ibu statik di Hentian Peladang.
Abangku sibuk hari itu.
Dia hanya tunggu panggilan ibu sahaja. Nanti dijemputnya ibu.
Lama kami tunggu.
Selama hampir 2 jam.
Aku kasihan sama ibu. Sama-sama tunggu di sisiku.
Lama aku duduk di sisi ibu.
Satu masa, yang semenjak aku tahu kasih ibu.
Inilah masa yang terlalu aku inginkan.
Duduk di sisi ibu.
Berlama-lama dengan ibu.
Hanya berDUA.


Ibu pendiam. Aku pendiam.
Sekejap ibu bersuara.
Aku layan kejap-kejap.
senyap.
Satu patah. Dua patah.
Senyap.
Sambung sepatah.
SENYAP.


Bas tiba. Aku naik bas.
Dari dalam bas.
Aku lihat ibu senyum padaku.
Kini aku tahu kalau
senyuman manis ini khasnya dari ibu.
Senyuman ibu sangat MANIS.
Ibu lambai tangan. Aku balas.
Ibu jalan kaki seorang diri ke pasar pagi.
Aku amati ibu lama-lama.
Ibu ada 'antalgic gait' sebab ibu ada 'osteoarthritis'.

Ibu sudah tua.
Ibu bakal berumur 60 tahun.
Ibu sudah punya kedutan di muka.
Ibu sudah ada banyak uban.
Ibu sudah TUA.

Tidak ramai yang berkesempatan
Tidak ramai yang sedar
Ada yang tidak mengenali siapa ibunya
Ada yang tidak punya kesempatan bersama ibunya
Lantas aku berSYUKUR.
Ibu masih ada.
Sampai hari ini.
Saat umurku 23 tahun.

Ibu sudah tua.
Aku sedikit-dikit makin berumur.
Entah siapa pergi dulu.
Tuhan tak duga aku.
Dengan KEHILANGAN

Ibu KUAT.
Ibu TABAH.

Kini aku sedar.
Mana datangnya sedar itu.
Sedar tentang TABAH yang aku ada.
Dari IBU

Anak sulungnya lahir tahun 1980.
Dalam pantang.
Ibu lakukan semua kerja.
Orang tua nasihat.
Jangan buat kerja berat.
Tapi ibu buat macam-macam.
Ibu seorang waktu itu.
Ayah 'outstation'.
Akibatnya.
dalam pantang.
Ibu rasa 'sesuatu' jatuh.

Jumpa doktor.
Didiagnosa Uterovaginal Prolapse
Atau rahim jatuh.
Kelahiran pertama.
Jadi kini aku faham.
Mana datang 'varicose vein' ibu.
telah teruk sampai begitu.
Namun tetap.
Ada 6 cahaya mata lagi lahir.

Ibu jalani operasi waktu umurku 16 tahun.
Ibu cuti 3 bulan dari kerja.
Baru aku tahu susahnya jadi IBU.
Aku yang lakukan semuanya.
Ibu berehat.
Malam baru sempat buka buku.
Itu hanya sekejap.
paginya bangun seawal mungkin.
Siapkan sarapan untuk semua.
Itu tugas yang ibu buat.
Baru aku lalui.
Susahnya jadi IBU.

Aku hanya mahu hidup sederhana.
Sesederhana mungkin.
Dengan Ibu.
Rinduku.
Cintaku.

Tuhan tidak duga aku dengan KEHILANGAN
Walau siapa pergi dulu.
tidaklah kehilangan yang aku rasai.
Akan aku hayati KEBERADAAN ibu di sisiku.
Walau masih samar
Aku atau ibu yang PULANG dulu...

nota: ternampak pasangan tua di hukm tadi. mataku basah sedikit, mana anaknya?

Selasa, Mei 4

hurm

Aku sering merasakan ayah ada tulah. Asal tak bagitau je pe yang aku nak buat, pasti sesuatu berlaku. Nampak macam tak logik, tapi benar. Ayah memang ada tulah.

DBG 9041

Nombor plat motorsikal adik aku. Bangun je pepagi, motornya lesap. Dicuri orang.

Dalam hati, aku gelak bukan main. Tapi bila bercakap dengan adik aku tadi, aku act cool, konon kakak terbaik . Sape suruh buat ayah camtu. Aku sebagai kakak sangat sengal dengan kelakuan adik lelaki aku ni. Merajuk bukan main dengan ayah. Sampai sanggup keluar rumah balik kay el.

Seumur hidup, aku tak pernah dengar ayah tinggikan suara pada adik lelaki aku ni. Maklumlah, anak kesayangan. Aku sedih, sebab aku tahu aku bukan anak terbaik buat ayah. Ayah pernah marah aku, ayah pernah tinggikan suara dia kat aku dek kerana aku terlalu mengada-ngada masa menjadi kanak-kanak pra-matang dulu. Tapi aku tak kisah hal itu malah berterima kasih. Sekarang aku membesar jadi tukang tadah telinga dengar luahan hati ayah. Cool kan? Aku merasa tersangat dekat dengan ayah masa ayah luahkan perasaan dia, walaupun ayah sering marah-marah aku dek sedih dengan perangai adik lelaki aku. Dia marah adik aku, tapi aku yang kena marah. Nampak tak adilkan? Namun aku dah matang. Takdenya nak dengki-dengki ni. Bila ayah marah aku, berleter kat aku..aku amek amarah dia, leteran dia sebagai satu nasihat. Aku sedaya upaya mengelak dari melakukan hal yang sama sebab aku tahu aku bukan anak terbaik dia. Hanya sekarang berusaha menjadi sebaik mungkin buat ayah dan mak.

Buat adik,

Aku sedih. Kau tak tahu betapa ayah sayang kau.

Nota: bagi ibu bapa, anak-anak merupakan keutamaan mereka. mana pernah mereka meletakkan diri mereka yang utama. berfikirlah sebelum berbicara, segala yang dilakukan ibu bapa adalah untuk kebaikan anak-anak sebenarnya