Minggu, Juni 24

My old barber shop

Bandar Kuala Krai berskala kecil. Dari kecil sehinggalah dewasa, aku membesar di sini. Belajar, bermusafir sehinggalah kembali semula berbakti dan berkhidmat untuk masyarakat di sini. Di sini, walaupun telah banyak perubahan yang berlaku, Kuala Krai masih mempunyai bangunan-bangunan lama, deretan kedai lama dan beberapa monumen dari zaman penjajahan British. Malah, Hospital Kuala Krai merupakan hospital tertua di Kelantan. Selama 4 tahun sudah berkhidmat di Hospital Kuala Krai, terasa sayu pula mahu berpindah ke tempat baru.

Aku mempunyai satu tempat favourite untuk tujuan gunting rambut. Sejak dari kecil, ia merupakan tempat yang akan aku tuju kalau aku mahu menggunting rambut. Kedai makcik cina. Luarnya merupakan kedai jual besi dan peralatan elektrik, masuk dalam ada satu ruang kecil disediakan khas untuk makcik melakukan perkhidmatan salon dan spa.

Kali terakhir aku ke kedai makcik adalah pada tahun 2006. Beberapa minggu sebelum aku berangkat ke Indonesia. Waktu itu, pakcik telah meninggal dunia. Dan makcik juga mengabarkan berita duka untukku. Beliau bakal menutup perniagaan salon dan kedai besi. Beliau bakal berhijrah ke Australia mengikut anaknya yang bekerja di sana. Begitulah jodohku dengan salon makcik. Selama hampir 10 tahun, ke situlah tempat aku menggunting rambut dan tiba-tiba ia tiada.

Balik bercuti dari Indonesia, aku sempat singgah ke kedai makcik. Sudah berubah wajah, sudah menjadi milik peniaga lain. Makcik mungkin sudah selamat tiba di Australia. Aku cuba ke salon lain, tapi tiada yang memuaskan hatiku.  Sehinggalah 2010, aku berkunjung ke kedai gunting rambut di bandar Kuala Krai. Ia mengembalikan semula kenangan waktu kecilku akan kedai gunting rambut. Aku berpuas hati dan makcik tahu benar stail bagaimana yang aku mahukan.

2014, bah kuning dan kedai tersebut tutup. Lama aku tunggu. Alih-alih makcik buka kedai di rumahnya sahaja.  Sehingga kini, masih lagi menjalankan bisnesnya di rumah. Nostalgia sungguh. Seumur hidup, hanya mereka berdua sahaja yang menjadi kesukaanku apabila menyentuh hal rambut. 

Hal-hal sebegini sentiasa mengusik ruang peribadi. Entah kenapa terlalu inklusif hidupku sehinggakan hal terkait gunting rambut pun aku terlampau berkira. Perlu yang itu, perlu begini. Ah, biarkan. Aku cuma mahu mengenang nostalgia waktu kecilku. 



Tidak ada komentar: