Kamis, Maret 8

Selamat hari wanita


Hari ini adalah hari Wanita sedunia. Pagi hari ini, mendapat pesan peribadi dari sahabat saya. Mengucapkan selamat hari wanita. Entah, tak tahu nak kata atau rasa apa. Menjadi wanita itu sendiri menakjubkan. Menjadikan wanita muslimah dengan peribadi tangguh adalah idaman semua.

Hari ini juga hari kelahiran arwah sahabat saya. Sudah hampir 3 tahun beliau meninggalkan kami. Meninggalkan sejuta rasa semasa keberadaan beliau di dunia ini. Untuk hari wanita kali ini, mahu saya ceritakan pasal arwah sahabat saya. Wanita muslimah berperibadi tangguh.

Sekejap sahaja tempoh perkenalan saya bersama beliau. Saya sentiasa mahu menjadi seperti arwah. Seorang yang solehah, berakhlak baik dan sentiasa murah senyuman walaupun ditimpa masalah. Arwah sentiasa menjadi sahabat dan pendengar yang baik. Sentiasa bertanya sekiranya kami mempunyai masalah. Dan berusaha membantu sekiranya memerlukan. Arwah sentiasa berprasangka baik. Hidup arwah, walaupun singkat, terisi dengan aktiviti dakwah dan tarbiah. Sepertinya arwah hidup lebih lama berbanding usianya.

Pernah suatu ketika, arwah meluahkan kegusarannya mengenai hidupnya. Lantas saya katakan pada arwah, di akhirat kelak saya jadi saksi awak adalah sahabat yang mengajak berbuat baik dan meninggalkan perkara lagha.

Selamat hari wanita dan selamat hari lahir. Damailah kamu di sana sahabat. Memori ini masih segar. Senyuman dan lembut tutur katamu masih lagi diingatan. Perkenalan singkat kita menjadi pemangkin untukku supaya menjadi wanita muslimah berperibadi tangguh sepertimu.

Rindu benar.

Tidak ada komentar: