Apabila musim peperiksaan besar tiba, selalu saja ada pelajar muncul di Jabatan Kecemasan. Banyaknya menjurus kepada depresi dan panik. Sistem kita, pelajar cemerlang itu harus A semuanya.
Baca mukabuku, ramai yang berkongsi kecemerlangan anak-anak mereka. Semua A dan mendapat pelbagai anugerah. Terlalu ramai yang mendapatkan A hingga semua A mendapat nombor puluh-puluh. Ada yang terbaik dikalangan pelajar dengan skor A semuanya.
Melihat dari trend ini, aku berasa bersyukur dilahirkan sedikit awal berbanding generasi kini. Walaupun sistem tetap sama, berapa A dilihat pada slip keputusan peperiksaan ia tidak menjadi satu masalah besar. Tidak ada mukabuku untuk dikongsi rasa gembira atau sedih. Tidak ada instagram untuk momen-momen gembira dan momen-momen duka. Tidak ada orang awam untuk berkomentar tentang apa yang dilalui dan dirasai oleh mereka yang berkongsi.
Kehidupan kita sepatutnya kekal peribadi. Tapi tidak kini. Ia titik awal permasalahan depresi dan penyakit psikiatri yang lain. Remaja hari ini terlalu banyak mehnah untuk diatasi sendiri.
Tidak semua yang cemerlang itu berjaya harungi sekolah kehidupan. Dan tidak semua yang gagal di atas kertas itu gagal sekolah kehidupan.
Pernah aku depresi kerana gagal mencapai pointer yang aku inginkan. Gagal mendapat A ketika di sekolah perubatan. Terasa benar-benar bodoh. Aku menangis. Malu pada rakan. Malu pada ahli keluarga. Sehingga aku berasakan hidup aku telah berakhir.
Itulah kali terakhir aku merasakan sedemikian. Aku ubah cara pandang aku. Tentang peperiksaan. Dan tentang kehidupan. Gagal peperiksaan atas kertas itu hal paling kecil sahaja. Dan aku laluinya tanpa pengharapan. Kita boleh bermula sekali lagi. Dari bawah. Aku berhenti melakukan sesuatu untuk mengkagumkan mata manusia. Dan kehidupan terasa lebih ringan. Tiada bebanan.
Sekiranya aku lulus atau gagal, aku sudah lakukan yang terbaik. Perancangan Allah pasti lebih baik untuk hambaNya. Kehidupan bahagia atau sedih dikongsi bersama mereka yang berhak. Berbahagialah sekiranya anda salah seorang daripada orang-orang penting dalam hidup aku.
Dah. Idea 5minit ini sudah ditulis.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar