Minggu, Juni 24

Depresi

Love is drop by drop.  Drama Korea yang 120 episod yang aku ulang tengok beberapa kali. Cerita berkisar tentang kekeluargaan. Ada unsur cinta juga. Aku paling terkesan pada watak yang dilakonkan oleh ayah mertua Eun Bang Wool. Dari awal lagi, watak ayah mertua dia rasional. Memang dekat dengan hati. Bertuahnya Bang Wool dapat bapa mertua begitu.

Ada beberapa babak di mana Bang Wool dan ayah mertuanya berbual dan bertukar pandangan. Dinamik keluarga mertua Bang Wool memang impian mana-mana menantu. Malah sikap tolong menolong dan kerjasama antara ahli keluarga memang berjaya digarap dengan elok dalam cerita ini. Ia gambaran sebuah keluarga dinamik yang sihat.

Pada aku, mana-mana lelaki yang menjadi ketua keluarga semestinya seseorang yang rasional dan senang diajak berbual. Aku sentiasa rasa mana-mana masalah akan lebih senang diatasi melalui komunikasi yang berkesan. Walaupun adanya tidak puas hati di kalangan ahli keluarga, ia tidak bermakna kita perlu bercakap kasar.

Dahulu, aku selalu memendam rasa. Pernah aku melalui fasa depresi. Aku pernah terfikir untuk membunuh diri beberapa kali ketika aku masih remaja. Malah, setiap malam air mata aku akan mengalir. Bangun sahaja dari tidur, terasa diri sangat tidak bermaya dan kosong. Aku lalui hari tanpa perasaan. Kemuncaknya, aku melarikan diri dari rumah. Itulah tindakan yang menyedarkan abah bahawa anaknya perlukan dia.

Abah duduk di hadapanku. Air mata abah hampir tumpah. Dan aku muntahkan segalanya yang tidak aku mampu ucapkan sebelum ini. Ia tidak menyelesaikan masalah, tapi benar-benar meringankan beban yang selama ini aku alami.

Kawan, depression is real. Aku dah laluinya. Aku solat, aku baca al-quran, aku nangis malam-malam, bangun solat malam, jadi jangan katakan kurang iman adalah puncanya. Kesakitan itu tidak pergi begitu sahaja. Ia perlukan perhatian dan perlu disantuni. Dan ia perlu dikongsi. Jangan pendamkan rasa sakit hati, sedih, muram dan sebagainya. Sekiranya anda melihat seorang rakan anda tiba-tiba berubah sikap, santunilah dia. Mungkin dia dalam fasa depresi.

Depresi adalah penyakit, walaupun fizikal nampak elok. Ia juga memerlukan rawatan. Ubahlah cara pandang kita pada orang sekeliling kita. Santunilah mereka, dan bersabar. Anda mungkin rasa ia sia-sia, atau anda mungkin rasa dia mengada. Tidak, dia sedang sakit.

Dan buat sesiapa yang mengalami waktu sukar, jangan pendam. Luahkan pada mereka yang anda percaya. Ia tidak menyelesaikan masalah tersebut, tapi sekurang-kurang ia meringankan beban yang anda harungi. Dapatkan rawatan profesional di hospital. Depresi bukan satu sumpahan, ia penyakit. Jangan biarkan ia melarat.

Moga Allah mudahkan kesusahan yang dihadapi

Tidak ada komentar: