Minggu, Desember 4

29




















Dah bertahun rasanya tersasar dari jalan sebenar
Tiada hati mahu kembali
Biarkan.





Sabtu, Desember 3

It's December

Musim tengkujuh telah tiba. Hujan turun berhari-hari. Ada masa langit memuntahkan isinya dengan banyak. Ada masa isinya sedikit cuma. Semua sedang berjaga-jaga. Bilik gerakan banjir telah mengeluarkan amaran banjir. Air sungai sudah melepasi amaran bahaya. 

2 tahun lepas tiada siapa menjangka banjir akan sebegitu besar. Masih lagi di ingatanku pada pagi 24 Disember 2014. Aku bersiap-siap ke tempat kerja. Hari itu aku shif pagi. Abah menghantar aku ke hospital. Laluan keluar ke bandar Kuala Krai telah dinaiki air. Abah mengambil jalan jauh untuk ke hospital. Ia mengambil masa 30 minit perjalanan untuk sampai ke hospital. Di beberapa tempat, air sudah naik setinggi lutut. Ada rumah-rumah yang sudah dinaiki air. Aku tiba di hospital pada pukul 8.30pagi. Pagi itu, air sudahpun naik sehingga klinik pergigian.

Aku bekerja seperti biasa. Pesakit tidak ramai. Kedai-kedai mula tutup. Pukul 3 petang, air nampaknya semakin naik. Laluan ke hospital tidak lagi boleh dilalui. Ia seakan deja vu. Aku berjalan ke laluan keretapi di laluan belakang hospital untuk pulang ke rumah. Abah mengambil aku di persimpangan jalan keretapi. Hujan tiada tanda untuk berhenti. Air semakin naik di beberapa kawasan di kampungku.

Malam itu, ustaz datang ke rumah. Katanya rumahnya sudah dinaiki air. Beliau mahu menumpangkan kudanya di belakang rumah kami. Hujan makin lebat. Malam itu aku tidur dengan perasaan gusar. Entah hari esok bagaimana.

Pagi, 25 Disembar 2014. Orang kampung sudah ramai berpindah. Air semakin lama semakin dekat dengan rumah kami. Apa yang dibimbangkan menjadi nyata. Kami juga harus berpindah. Meninggalkan rumah dan membawa apa-apa yang patut. Kami tinggalkan kucing-kucing peliharaan kami di hutan berdekatan. Bergelinang air mata ibu saat kami tinggalkan mereka. Dan kucing-kucing kami tidak habis mengiau. Tapi kami gagahkan semangat. Kami tinggalkan mereka dalam jagaan Allah. Dan Allah sebaik-baik pelindung dan pemberi rezeki. Itu kata adik.

Kami bermalam di sekolah berdekatan. Esoknya air betul-betul di hadapan sekolah. Bahagian sekolah yang agak rendah dinaiki air. Hujan sudah mula berhenti. Matahari juga telah menampakkan wajah. Abah keletihan dan mengalami beberap episode sakit dada. Disebabkan itu, kami membuat keputusan untuk ke rumah lama kami. Keputusan yang berat untuk dilakukan. Kampung kami sudah seperti lautan luas. Air masih lagi laju. Air tinggi melebihi tiang elektrik. Ustaz tidak putus-putus memeluk abah. Berdoa keselamatan abah. Alhamdulillah,  sekali lagi Allah permudahkan urusan kami. Dari hanya mendayung sampan, kami bertemu dengan orang kampung yang ingin mendapatkan bekalan makanan. Perjalanan kami dipermudahkan kerana kami menaiki bot enjin. Tidak dapat dibayangkan jika kami terpaksa mengayuh sampan. Mungkin ceritanya akan berbeza sekali.

Beberapa hari selepas itu, air mula surut. Rumah kami juga sudah surut airnya. Kami kembali melihat kesan banjir pada rumah kami. Rumah masih ada. Barang-barang perabot semua ditenggelami air. Yang paling aku terharu. Tiba-tiba kucing-kucing kami menyendeng di kaki kami. Kami kira satu-satu kucing kami. Cukup dan ada. Tuhan, sebaik-baik pelindung.

Episod selepas banjir. Mengambil masa hampir setahun untuk keadaan kembali seperti biasa. Dan trauma bah kuning 2014 masih lagi ada pada setiap yang melaluinya. Dan Allah tidak menguji hambaNya melebihi kemampuannnya.