Minggu, November 22

menjadi anak

Semalam saya kerja shift pagi. Hujung minggu di jabatan kecemasan adalah seperti unit pesakit luar. Kes-kes kronik datang saban hujung minggu. Dulu, saya mungkin akan melenting jika kes-kes kronik yang tidak cemas datang pada hujung minggu. Namun, saya tahan keanginan saya selepas berjumpa dengan seorang pakcik.

Ketika itu, tengahari Jumaat. Saya ke kedai membeli barang dapur. Saya terserempak dengan seorang pakcik dalam lingkungan 60an mengajuh basikal ke hospital. Petangnya saya atas panggilan. Dalam perjalanan ke hospital, saya terserempak dengan pak cik yang sama sedang mengajuh basikal menuruni bukit dengan membawa plastik ubat. Hati saya sentap seketika. Selama ini, saya sering skeptis dengan golongan geriatrik yang selalu datang pada hujung minggu. Pakcik ini buat saya beristighfar panjang.

Ada orang, berusaha mendapatkan rawatan bagi dirinya dengan segala apa yang dia mampu. Beberapa kali saya bertanya pada pesakit-pesakit tua kenapa baru datang hari ini. Bukan kerana skeptis, tapi perlu mengetahui adakah apa-apa yang cemas berlaku kepada mereka di rumah sehingga mereka perlu hadir pada hujung minggu dengan masalah kronik. Jarang dari pakcik makcik bersuara. Ada tu air mata sahaja yang mengalir. Fahamlah saya melalui respon mereka.

Buat anak-anak. Ya, kita sudah besar. Sudah ada keluarga, kerjaya dan tanggungjawab lain. Tapi janganlah dilupakan tangan yang pernah membersihkan berak kencing kita semasa kita kecil. Percayalah, walau ibu bapa kita tidak belajar sampai universiti, mereka ketika kita masih bayi, masih mampu memberikan sejarah sakit kita dengan betul kepada doktor. Tiada ibu bapa yang datang tanpa jawapan tidak tahu. Hanya anak-anak sahaja yang banyak menjawab saya tidak tahu, saya tidak tinggal dengan dia.

Layanlah mereka sepertimana kita mahu anak-anak kita menyantuni kita kelak. Kerana anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya adalah satu perisai bagi kita bila kita meninggal dunia kelak. Apa yang kita beri, begitulah yang bakal kita dapatkan. InshaAllah.

Tidak ada komentar: