Kamis, April 28

Sa-

Sa-minggu,
Masih beradaptasi dengan persekitaran yang baru. Bilik baru dan rakan rumah yang baru. Rindu pada ahli rumah yang lama. Dua tahun adalah waktu yang sangat pendek. Kami sulami diri kami dengan kasih sayang dan ukhuwah kerana Allah. Rindu padanya yang mengalirkan airmata saat saya khabarkan padanya peristiwa saya hampir lemas. Ah, kamu-kamu semua memang punya karakter yang tersendiri! (Masih berharap kita dapat menonton cerita Dong Yi bersama seperti dulu sambil kritik apa-apanya)

Sa-bulan,
Kritikal. Hal-hal yang terjadi benar-benar mematangkan saya. Saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang salah, malah sayalah yang sebenarnya salah menilai diri saya. Saya juga silap percaturan. Keluarga dan keluarga besar saya. Benar-benar tarbiah langsung dari Allah buat saya.


Sa-tahun kedepan,
Masih tidak pasti akan seperti apakah tahun akhir ini. Tanggungjawab semakin mendekam dada. Dan resolusi usrah yang diperbincangkan benar-benar menuntut komitmen total. Benar, komitmen adalah totalitas sebuah perjuangan. Dan perlu juga diri ini persiapkan diri untuk perjuangan luar kampus. Mahu menjadi siswi tarbiah yang tawazun. Doakan saya ya!

Sa-puluh tahun lagi,
Makcik tanyakan kami apa misi 10 tahun lagi. Mahu yang measurable, semestinya ia sesuatu yang perlu difikirkan dalam-dalam. Mahu yang biasa-biasa, saya tak punya kok. Saya juga mahu kalau ianya sesuatu yang boleh dinilai dan diukur agar ia berada dalam indeks prestasi yang saya harapkan. Lantas, saya coretkan misi sa-puluh tahun lagi. Walau masa depan itu adalah sesuatu yang kabur, perancangan ke depan itu pasti.

Sa,
Sayalah.
Tulis tentang saya di blog ini.
Bila saya mahu baca
Semangat saya naik lagi.
Maka,
terima saya dengan ketaksempurnaan ini.

Lantas apakah jiwa itu sesungguhnya?
Kesadaran akan baik dan buruk!
Ia adalah zat yang tidak menyukai kerusakan
Dan sangat menginginkan serta menjunjung kebaikan.
(Jalaluddin Rumi)

Selasa, April 26

hana

wahai kamu satu-satunya bunga di dunia
sila senyum sentiasa dan jangan masam mencuka

Pabila ia datang
Indeks prestasiku pasti menurun
Aku pasti masam mencuka
Paling tidak,
Aku jauhkan diriku dari semua orang.

Ia pabila datang 
tanpa segan silu
bikin diri lemah segala
setiap derap langkah ibarat ada yang mengetuk
mahu pecah kepala ini
denyut-denyut yang menggusarkan jiwa

kubaca ayat dari tercintaku
dan pabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku
dan segala yang susah tampak lain

sembuhkan apa yang tak tersembuhkan
lahirkan dalam hati ini satu asa yang takkan pernah kalah
wahai kamu satu-satunya bunga di dunia

Nota: Dia tinggalkan kami 5 tahun yang lalu, menginspirasi kami melalui tulisannya di blog. Satu hari, blog itu tidak lagi diupdate. Dia yang telah pergi tinggalkan kami pada bulan Ramadhan 2006.

Rabu, April 20

Tulisan

Bukan yang pertama,
sedang ia yang kedua,
Dan Allah dengan takdirNya,
Masih berikan aku nyawa,
selepas terlepas dari bahaya.

Mati itu pasti
Hidup satu pilihan
akan hal yang kita imani,
Bahawa,
Allah adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami,
Al-Quran pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Syahid fisabilillah adalah cita-cita kami.

Malam ini bulan penuh,
Kamu memang indah,
Aku cari kamu di balik awan itu,
Walau fizikmu seperti itu,
Bulat.
Kerna sifat kamu yang buat uja itu
Sifat indah kamu
Lantas secantik mana fizikal itu
Tidak akan pernah tertandingi akhlak indah itu.

Alhamdulillah. Allahuakbar buat hari ini.
Abah, Kakak
Sekalung kasih sayang dan terima kasih.

Kamis, April 14

Manusia

Lama saya berfikir. Mahu dimesej atau tidak. Sudah 3 hari keputusan akhir peperiksaan tahun 3. Dan saya mengetahuinya dari hari pertama. Sukar, saya tahu itu sukar. Mengalaminya kali kedua. Mahu berkata lebih-lebih nanti takut dimarahi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pernah satu masa dahulu, saya mendengar rintihan seorang sahabat mengenai masalah yang dihadapinya. Ayat biasa yang keluar dari mulut saya waktu itu,

Sabar, sesungguhnya...

Belum sempat saya menghabiskan ayat tersebut saya sudah dimarahi. Sabar, sabar. Kau tahu tak dah berapa juta orang cakap benda yang sama!???

Saya terkedu. Telan liur. Ok, dia sensitif dengan kata sabar itu. Namun, Alhamdulillah. Perbualan masih mampu diteruskan.

Sekali lagi sahabat saya itu datang. Dengan masalah yang berbeza. Waktu itu, saya memang tak terfikir nak bagitau apa. Soalan pula yang saya tanyakan.

Agak-agak, dah berapa orang nasihat sabar kat ko eh?

Terus tangisannya terhenti sambil merenung saya yang agak tertegun di situ. Mati, mati. Bala nih. Sekali lagi tempah maut.

Dia gelak. Tangisannya terhenti dan dia ketawa terbahak-bahak.

Saya. Masih blur. Begini sudah buat dia gembira sakan ya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya gagahkan juga. Mesej sahabat saya itu.

Hehe. Kau ni. Kalau orang lain mesti tak berani nak mesej aku. Aku ok je. Pasrah jela.

Saya tahu dia kuat. Budak baik lagi rajin yang low profile.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Seringkali kita berjumpa dengan pelbagai orang. Memang terkadang ada orang yang memang tak ngam langsung dengan kita. Dan kalau ngam sekalipun mesti ada juga hal yang diperselisihkan. Namun, semua itu perencah kehidupan ini. Indah, sangat indah. Kerana manusia sememangnya diciptakan untuk saling kenal-mengenal.


Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. ( Alhujurat: 13)


Dan semakin kita mengenal manusia, semakin kita melihat cerminan diri kita dalam mereka. Melihat kekurangan kita. Mengenali mereka yang pelbagai adalah untuk kita telusuri diri kita sendiri. Mereka-mereka insan yang pelbagai ragam adalah sekolah-sekolah kehidupan kita untuk kita kutip hikmah dari mereka untuk kita bawa bersama dalam hidup kita.

Saya jumpa pelbagai ragam, dan saya yakin anda juga begitu. Ia bagaimana anda mencorakkannya. Anda boleh memilih mencorakkannya menjadi yang terbaik mengikut acuan anda. Dan berserahlah pada Allah. Allah sentiasa mengetahui yang terbaik.

Selasa, April 12

Jawab soalan

Dah lama benar tak main jawab-jawab soalan ni. Tiada siapa mahu tanya-tanya soalan kecuali Cik Fathen, btw Cik Fathen, nama anda memang famous, termasuk dalam ejen carian saya di blog. Mungkin anak-anak murid anda tahu seorang Teacher yang cool seperti anda pasti mempunyai blog.

Mari menjawab soalan dalam Bahasa Melayu.

1. Bekas kekasih saya adalah :
- tiada bekas, bakal, dan seangkatan dengannya.

2. Saya sedang mendengar :
- lagu Yiruma, Kiss the Rain.

3. Mungkin saya patut:
    Berhenti menaip dan membaca buku.

4. Saya suka :
- apabila semua manusia tersenyum gembira.

5.Sahabat-sahabat baik saya :
- adalah insan terbaik yang pernah saya temui

6.Saya tak paham :
- kenapa ada orang yang dulunya menyokong kini menjadi pembangkang nombor satu.

7.Saya kehilangan :
- internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

8.Ramai yang berkata :
- saya budak naif.

9.Makna nama saya :
- tidak tersenarai dalam kamus makna nama-nama pilihan.

10.Cinta itu adalah :
- logik. Dan apabila anda melogikakan cinta, anda akan menghayati cinta itu sendiri.

11.Di suatu tempat, seseorang sedang :
- berharap saya pulang berada di sisinya.

12.Saya akan cuba :
- lakukan yang terbaik di sebalik keterbatasan saya.

13.Ayat SELAMANYA membawa maksud :
- kekal mungkin. tapi ayat semoga kekal abadi selamanya?

14.Telefon bimbit saya :
- hanyalah O3 je.

15.Bila saya terjaga dari tidur :
- Alhamdulillah, Tuhan teramat baik bagi saya hidup lagi.

16.Saya paling meluat apabila :
- terpaksa menggunakan tandas berbayar yang tak berapa indah.

17.Pesta/Parti adalah :
- seperti dalam cerita Dong Yi, orang ramai berkumpul memasang tanglung dan melepaskannya di udara.

18.Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah :
- Kucing, sebijik macam Garfield.

19.Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah :
- Sekarang, penuh dengan cubaan dan dugaan.

20.Hari ini :
- saya perlu siapkan segala yang belum siap, dan Alhamdulillah semuanya siap!

21.Malam ini saya akan :
- buat nota SST

22.Esok pula saya akan :
- siapkan SSM

23.Saya betul-betul inginkan :
- Pintu Doraemon (tak habis-habis)

24.Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini :
- saya melihat gigi saya semakin jarang.

25.Pusat membeli-belah atau arked permainan :
- Arked permainan.

26.Makanan Barat atau Jepun :
- Jepun :Seoul Garden, Hanamasa, Sushi King. Semuanya terbaik.

27.Bilik yang terang atau gelap:
- Dua-dua.

28.Makanan segera adalah :
- makanan yang tidak patut didekati.

29.Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang?
- Oh, anda memang kakak yang baik.

30.Siapa yang anda nak Tag?
- Tak de sesiapa pun. Tapi sesiapa rajin, jawablah soalan ni.

Senin, April 11

Keajaiban

Ibu tanya bila mahu pulang,
Ayah ajak pulang hujung minggu,
Kakak ajak lepak rumah dia,
Sahabat-sahabat tanya kapan bisa ketemu,
Berharap benar
Jika ada pintu Doraemon
Sekejap-kejap di rumah
Tidak perlu tinggal di kolej
Tengahari lapar,
buka pintu Doraemon
Dan terlihat ibu di rumah.

Jika aku mahukan keajaiban,
aku akan ciptakan keajaiban itu.
Tiada pintu Doraemon
Ada keajaiban lain
Pasti aku lakukannya
Untuk
Ibu
Ayah
Kakak
Sahabat.

Dah.

*masih berharap pintu Doraemon tu wujud*

Nota : Tahniah buat sahabat-sahabat tahun 3 yang lulus peperiksaan.

Sabtu, April 9

Hidup

Kau sedang apa?

Aku sedang tidak punyai kegiatan, sahutnya

Kalau begitu, belajarlah sesuatu. Pada saat ini, banyak orang berhenti menjalani kehidupan. Mereka tidak marah, juga tidak berseru-seru memprotes, mereka sekadar menunggu waktu berlalu. Mereka tidak menerima tantangan-tantangan kehidupan, jadi kehidupan pun berhenti memberikan tantangan pada mereka. Kau juga mengambil risiko yang sama. Tunjukkan reaksi, hadapi hidup; tapi jangan berhenti hidup.

Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan) tetaplah bekerja keras( untuk urusan yang lain)
(Al-Insyirah : 7)

Terinspirasi dari kisah sahabat saya dalam Setenang Malam.

Kekuatan anda, semangat dan inspirasi saya. Sayang kamu amat (walau kita tidak pernah bertemu empat mata) eh, pernah, cuma tidak sempat bertegur sapa, di Radiologi Department PPUKM

Kamis, April 7

Lurus

Sejak dua tiga minggu ni saya semakin jarang membaca berita. Di rumah juga, pasti televisyen akan ditutup oleh ibu apabila siaran berita muncul. Surat khabar lagilah haram. Lantas saya mengambil secebis dari sajak Almarhum Pak WS Rendra,

Maksud baik saudara untuk siapa?
Kita mahasiswa tidak buta.

Sajak Pertemuan Mahasiswa.


Lurus

Lurus mengacu ke depan hati seorang insan
Bagai timbunan salju mendatarkan gunung-gunung
Seperti hening malam mengenyahkan hiruk-pikuk siang
Sejuk bagai irama air sebuah pancuran

Tak akan seseorang menjadi sesat jalan
Jika di hatinya bersemayam sebuah ucapan:
Hanya pada Tuhan kuletakkan kepercayaan
Dia semata yang dapat menunjukkan jalan

Sajak Muslihuddin Sa'di Al Syirazi

Katakanlah aku percaya kepada Allah, kemudian pegang teguhlah pendirian itu.

Senin, April 4

FERRARI,PIERRE CARDIN DI DARUL TAQWA

Pada entry kali ini, saya berminat untuk berkongsi satu cerpen yang saya dapatkan dari seorang rakan. Mungkin ada dikalangan kita yang pernah membacanya, tetapi sengaja saya masukkan sekurang-kurangnya memberi nilai optimis dalam perjuangan masing-masing. Sekurang-kurangnya ada impian, ada idea. Kerana cita-cita dan impian, boleh dijadikan gol yang jelas yang memandu halatuju perjuangan. Teringat saya dalam bab 6 bahagian 1 Buku ‘Apa Makna saya menganut Islam’, iaitu Bab : Saya Wajib Meyakini Bahawa Masa Depan Adalah Untuk Islam, Ust Fathi yakan menyebut :

"Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan”

Agak panjang namun menarik.Selamat membaca.


FERRARI,PIERRE CARDIN DI DARUL TAQWA

“Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.”Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman.”
Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini. “pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik,” kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.

Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. “Hoi budak, Aku dimana sekarang ?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

“Assalamualaikum….Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman…. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali. “Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ? ” Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja.Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? ” tanyanya angkuh. “Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat,” kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. “Oh, oh …. maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?” Tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar.

Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula – Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.
“Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. “

“Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa.”

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. “Di mana aku sebenarnya ni?” Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada. “Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini.” Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

“Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat…” Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur seorang kepada pegawai penguatkuasa. “Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!” rayu lelaki itu.
Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas …Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!” Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri.

Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

“Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.” “Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.”Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. “Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!”. Lelaki itu tersenyum. “Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women’s Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,”terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih. “Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni…” “Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu… Subhanallah….” Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. “Nasi beriani sepinggan !”ujarnya kepada pelayan. “Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan. “Ya ! Apa peliknya?”, “Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?” tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas. “Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki,” kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

” Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, ” ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja “Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?”tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. “Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit …malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi,seorang pun tak mahu terima sedekah ana ” Keluhnya.”Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.Oh…! keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.”Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian -kementeriannya…. saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat,” kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik.

“Tambah nasi sepinggan lagi!” ujarnya kepada pelayan restoran. “Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan … berhentilah sebelum kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ….,” kata pelayan itu lagi. “Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!” bentaknya. Marah campur geram. “Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital! “Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?” leternya perlahan-lahan. “Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya…..” “Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. saya perlu hiburan sekarang …Di mana boleh saya dapati ?” tanyanya. “Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma. Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip.

Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT,ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh…Oh … seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.

 Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: Raja’. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti… FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI .Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? “Tak ada lagu yang hot sikit ke?” tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. “Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang…” “Ya, ya saya setuju,” balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran a… “Eh …ni suara orang mengaji, “Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya,” kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema …. Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta…….stanza hati merindu Ilahi!”

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran. “Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah …” Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata ” Saya bayar dengan kad kredit saja!” Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. “Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah.” “Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.” ” Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka.” “Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya,” pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah Tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan’MAKRUFAT AIR TRANSPORT’ sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :”KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH “. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. isy,meluatnya!Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum.

Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus. “Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !” Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.”Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? “tanya Datuk Dr. Johar.”Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya…” “Habis, mereka mahu apa?” “Mereka mahu Islam, Datuk!” “Islam ? ” keluh Datuk Dr. Johar.

Digosok-gosok lagi matanya.

Tammat...


Entri ini seratus peratus dari blog ini. Terima kasih.